Membawang Hari Ini

Travelog Kembara Ilmu

Semakin mendapat perhatian penonton, TV AlHijrah (TVAH) yang kini boleh ditonton menerusi saluran Astro 114 sentiasa tampil dengan pelbagai program ilmiah terkini.

Terbaru, TVAH akan menyiarkan program padat dengan pengisian yang mampu menjawab kemusykilan agama berhubung aspek musafir, solat dalam kapal terbang dan pengurusan pemakanan ketika melancong.

Program travelog dinamakan Kembara Ilmu itu akan dihoskan ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang bercuti bersama suami dan anak-anaknya ke kota Paris, Perancis dan Amsterdam, Belanda.

Diterbitkan sebanyak 13 episod, program ini sudah selesai penggambarannya pada Mei lalu dan menemui penonton di TVAH mulai jam 9 malam esok.

Isfadiah berkata, Kembara Ilmu adalah program dokumentari travelog santai mengisahkan perjalanan dan percutian keluarga penuh ilmiah.

“Disebabkan itu, topik akan dibincangkan lebih tertumpu pada bermusafir, solat dalam kapal terbang, menentukan arah kiblat di negara asing dan juga pengurusan pemakanan halal.

“Saya berminat untuk berkongsi ilmu dengan penonton untuk program travelog ini kerana memikirkan golongan ibu bapa pasti akan mengatur percutian keluarga,” katanya.

Menurut Isfadiah, selalunya sebaik tiba musim cuti sekolah ibu bapa sudah tentu merancang untuk membawa anak-anak bercuti.

Jadi, dengan berpaksikan matlamat mengeratkan hubungan kekeluargaan di antara ibu bapa dan anak-anak adalah wajar percutian itu dimanfaatkan dengan pengetahuan ilmiah.

“Justeru, menerusi program Kembara Ilmu ini saya akan menerapkan perbincangan berkaitan ilmu Fikah secara santai dan bersahaja kepada anak-anak. Saya akan menjawab segala kemusyhkilan ditanyakan.

“Apatah lagi, memandangkan kami sekeluarga bercuti di luar negara maka topik musafir, solat dan pengurusan makanan dipilih sesuai untuk dibincangkan seisi keluarga.

“Lagipun, anak-anak saya memang suka bercuti dan mereka gemar bertanya. Jadi, saya dan suami, ustaz Muhidin Mokhter berasakan ilmu ini seronok apabila dikongsi,” katanya.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata berusia di antara 18 hingga lima tahun itu, selari dengan kepakarannya dalam bidang kekeluargaan dan didikan anak-anak pengisian ilmiah dimuatkan dalam program Kembara Ilmu itu cukup padat.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");