Laporan Eksklusif, Perak Hari Ini

UMNO 2014 : Jangan Angkuh, Sombong dan Selesa Dengan Kemenangan – Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengingatkan semua ahli Parti bahawa kemenangan dalam mana-mana pilihanraya bukan alasan untuk berasa angkuh, sombong dan selesa.

Ini katanya, cabaran terhadap perjuangan UMNO masih hebat, jalan yang perlu dilalui masih berliku, ranjau di hadapan masih berduri.

“Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji adakah parti kita berada dalam keadaan yang selamat?

“Adakah parti kita disenangi oleh sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang?,” demikian persoalan yang dilontarkan beliau menerusi Ucaptama Perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 di Bangunan Putra World Trade Center di sini, semalam.

Beliau turut membawa hadirin persidangan mengimbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam konteks dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah pertembungan antara fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis.

Bagaimanapun katanya, UMNO berjaya membina identiti perjuangannya sendiri di atas semangat kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam.

“Pada ketika itu juga, nasionalisme merupakan ideologi utama yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita berjaya mencapai kemerdekaan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, katanya sebagai sebuah parti yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya merintis kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara ini untuk membina sebuah negara bangsa.
Selain itu, sebagai kerajaan pula, UMNO menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara tersendiri.

Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah ceritera kejayaan; ceritera sebuah negara yang aman dan stabil di sebalik kepelbagaian kaum dan agama, tambahnya.

“Hasil perjuangan UMNO, negara kita telah berganjak daripada sebuah negara miskin sewaktu merdeka kepada negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara maju dalam beberapa tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan 2020.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");