Isu Panas

Wujudkan Majlis Amanah Tanah Melayu

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Majlis Amanah Tanah Melayu di seluruh negeri bagi melindungi tanah rizab Melayu selain bertanggungjawab membangunkannya.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda Umno turut menggesa Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri dikuatkuasakan sepenuhnya dan menyemak semula senarai tanah rizab yang diwarta keluar dan memastikan tanah-tanah terlibat digantikan dengan segera.

“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan siri laporan bahawa keluasan tanah rizab, jatuh mendadak dari 50 peratus kepada 12 peratus. Saya mengajak Pemuda ke hadapan, mencari penyelesaian memastikan hak yang termaktub dalam enakmen sejak 1914, juga wasiat Raja-Raja Melayu, tidak tergadai.

“Di manakah salahnya kita dalam soal ini? Kajian menunjukkan salah satu sebabnya adalah bila pihak berkuasa tidak menggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar dengan merizabkan semula satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan tanah asal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar yang bertajuk ‘Melayu’ pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2014, di sini hari ini.

Khairy turut menyentuh soal pemilikan hartanah oleh orang Melayu di bandar berdasarkan statistik terkini yang menunjukkan kaum Bumiputera itu hanya memiliki lima peratus daripada jumlah hartanah di Malaysia.

Katanya, Pemuda Umno memandang serius perangkaan itu yang mana meskipun 58 peratus penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah bumiputera, namun peratusan yang sama tidak diterjemahkan menerusi pemilikan hartanah.

Beliau berkata, banyak sebab keadaan itu berlaku antaranya sikap pemaju perumahan yang seperti sengaja tidak mahu menjual kuota yang ditetapkan untuk Bumiputera dengan cara mengurangkan promosi dan menunggu sehingga enam bulan selepas tempoh kuota bumiputera tamat.

“Kalau tidak boleh jual kuota bumi dalam tempoh enam bulan, mereka dapat pengecualian. Ada yang tidak bertanggungjawab lagi kuat mengelat. Mereka akan kurangkan promosi sebab tahu akan dapat pengecualian dan boleh jual di pasaran terbuka,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan tempoh untuk mencari pembeli bumiputera dilanjutkan selama sembilan bulan atau kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan boleh membeli unit kuota bumiputera dari pemaju, bagi tujuan memperkasa agenda bumiputera.

Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno hari ini dihadiri hampir 1,000 perwakilan dari seluruh negara yang mana 20 wakil dari pelbagai negeri akan mengambil bahagian membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");