Perak Hari Ini

121 Anak Warga Kumpulan PKNP Negeri Perak Terima Bantuan Persekolahan

IPOH: Seramai 121 anak warga Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah menerima bantuan persekolahan dalam sebuah program yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan perbadanan tersebut.

Program yang diberi nama ‘Moh Kite Pi Sekolah’ itu telah diadakan bertempat di Kompleks Megopleks di Medan Gopeng dekat sini, petang tadi.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Aminuddin Md Desa berkata, program tersebut dilaksanakan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh warga kerja Kumpulan PKNP dalam menyediakan kelengkapan asas bagi persekolahan anak-anak mereka.

“Selalunya, Program Khidmat Masyarakat yang dibuat oleh Kumpulan PKNP ini hanya tertumpu kepada anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

“Namun, kali ini kita mengambil pendekatan berbeza dimana kita mahu melahirkan keprihatinan terhadap warga kerja dengan membantu menyediakan kelengkapan persekolahan asas agar bebanan kewangan mereka dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kepada kira-kira 70 orang warga Kumpulan PKNP yang hadir dalam majlis tersebut.

Beliau berharap usaha murni tersebut dapat diteruskan di masa hadapan dan dapat diperluaskan kepada insan yang turut memerlukan keperihatinan daripada pihaknya.

“Apa yang paling penting adalah usaha semua pihak dalam menjaga kebajikan warga agar sentiasa berada pada tahap terbaik dan memuaskan.

“Hal ini perlu diberi keutamaan kerana ia akan menjadikan mereka dapat berkhidmat dengan tenang, gembira serta memberikan komitmen terbaik terhadap keluarga, organisasi, masyarakat seterusnya negara.

“Kita harap ini dapat menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan mereka dan mampu menangkis peribahasa ‘Kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan’,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Kumpulan PKNP telah memperuntukan kewangan berjumlah RM21,300 bagi memberi bantuan kepada 121 anak-anak warga PKNP dimana 58 orang bersekolah di sekolah rendah dan 63 berada di sekolah menengah.

Mereka merupakan anak-anak kepada 70 orang warga kerja PKNP yang terpilih dimana mempunyai gaji pokok dibawah RM3,000 dan RM3,500 bagi ibu atau bapa tunggal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");