Membawang Hari Ini

Adza Irdawati berkarya melalui skrip

MENJADI seorang penulis skrip bukanlah mudah. Semuanya memerlukan daya imaginasi, kreativiti tersendiri dan kesungguhan dalam menghasilkan karya. Jika idea yang disampaikan itu berjaya mendekati diri penonton, bermakna hasilnya cukup membanggakan.

Bagi anak kelahiran Kulim, Kedah ini, Adza Irdawati Adenan, 37, kerjaya menulis skrip sudah menjadi sebahagian daripada punca pendapatan utamanya.

Berkecimpung dalam bidang ini sejak dari tahun 1996 memberi satu kepuasan yang tidak terkata kepada dirinya kerana bakat menulisnya bermula sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

Baginya anugerah yang dikurniakan oleh Ilahi adalah sesuatu yang sukar diungkapkan dengan kata-kata dan hanya individu bertuah sahaja dapat berkecimpung dalam bidang ini.

Berbekalkan kepada pengalaman mengikuti kursus penulisan skrip di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) membuatkan beliau terus berusaha mencapai impian tersebut.

Berbicara mengenai dirinya, Adza Irdawati berkata, pada mulanya tidak terlintas pun untuk menjadikan kerjaya penulis skrip ini sebagai punca pendapatan utama.

“Selepas tamat tingkatan lima saya mencuba nasib menghadiri sesi temu duga sebagai seorang pramugari. Alhamdulillah saya berjaya diterima tetapi malangnya emak tidak mengizinkan saya menceburi bidang tersebut.

“Sebagai anak saya terpaksa akur dan akhirnya memilih bidang peragaan. Selepas itu saya cuba berjinak-jinak pula dalam bidang lakonan. Ketika itulah saya mengenali suami (Allahyarham), Martias Mohd Ali selaku pengarah drama,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Tidak sampai setahun terlibat dalam dunia lakonan, akhirnya Adza Irdawati dan Martias mengambil keputusan berkahwin dan sejak itulah beliau berhenti menjadi pelakon.

“Menjadi suri rumah tangga tanpa melakukan sebarang aktiviti membuatkan saya mula berasa bosan. Pada masa itulah saya cuba membaca skrip-skrip drama arahan suami dan akhirnya terdetik di hati untuk menulis dengan lebih bagus lagi.

“Setelah suami melihat bakat terpendam dia terus memberi galakan sehinggalah saya mencuba nasib menghantar skrip pertama ke Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya.

Buat penyelidikan teliti

Dari sehari ke sehari, bakat penulisan skrip semakin terserlah. Akhirnya Adza Irdawati mula mencari kesesuaian dengan menulis skrip drama yang lebih kepada cerita seram, komedi dan kekeluargaan.

Rentetan dengan reaksi positif yang diberikan oleh pihak RTM, kini beliau telah mula mengorak langkah dengan pihak Astro pula untuk siaran drama bagi rancangan televisyen swasta itu.

Sejak 18 tahun berada dalam lapangan ini, sudah lebih 70 skrip drama, filem dan dokumentari telah dihasilkan.

Menurutnya, kerjaya penulis skrip ini sebenarnya memerlukan ketelitian. Setiap kali diamanahkan untuk menulis skrip drama seram, perkara pertama yang akan dilakukan adalah dengan membuat penyelidikan terlebih dahulu.

“Saya akan pergi ke sesuatu tempat yang dirasakan ada kaitan dengan jalan cerita yang akan ditulis untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang jalan cerita itu.

“Biasanya melalui pengalaman tersebut saya lebih mudah menulis dan menghasilkan karya yang lebih dekat dengan masyarakat. Saya tidak mahu menulis skrip ini dianggap kerjaya syok sendiri.

“Malah jika diamanahkan untuk menulis skrip drama seram, saya akan menulisnya pada waktu pagi hingga petang sahaja. Ini bagi mengelakkan sebarang gangguan. Gangguan tersebut biasa dan tidak menjejaskan konsentrasi saya untuk menulis skrip,” ujarnya.

Dibantu adik bongsu

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Adza Irdawati mengakui bantuan daripada adik bongsu iaitu Adza Nasyaemi, 25, yang turut sama menulis skrip mempercepatkan proses menyiapkan skrip drama.

Bagi satu-satu skrip biasanya masa yang diambil antara tempoh tiga hari dan paling lama pun tiga minggu berdasarkan jalan cerita untuk setiap kategori drama.

Adza Irdawati menambah, walaupun terlibat sepenuh masa dalam bidang ini dan dibantu oleh suami sebelum meninggal dunia Mei lalu, akibat kanser darah limfoma, masa bersama anak-anak tidak pernah diabaikan.

“Allahyarham adalah seorang bapa yang bertanggungjawab biarpun kadang kala terpaksa meninggalkan kami agak lama untuk menyiapkan sesuatu drama dan filem.

“Mujurlah anak-anak cukup memahami dan dua daripada empat anak kami mula menunjukkan minat mereka dalam bidang pengarahan dan menulis novel. Sebagai ibu saya tidak kisah dan sebelum suami meninggal dunia, dia turut berpesan agar membimbing anak-anak jika mereka betul-betul minat dalam bidang ini,” katanya.

Aktif sebagai blogger

Selain menulis skrip, Adza Irdawati turut aktif dalam menulis blog. Sejak menulis blog pada Januari 2011, kini yang sudah berkunjung ke laman blognya sudah mencecah 2.2 juta orang. Blognya lebih kepada lifestyle blogger dan personel blogger.

Perkongsian dalam blog ini lebih berkisar kepada pengalaman ketika bercuti, mengembara bersama anak-anak dan juga skrip-skrip drama hasil tulisannya.

Apa yang membanggakannya adalah pada 2012 beliau telah berjaya menerima anugerah World Blogger Social Media Award daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (ketika itu), Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Anugerah ini secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada beliau untuk terus mewarnai dunia blog dengan hasil tulisannya di www.bicaramakdara.com.

Selain aktif dalam penulisan skrip dan blog, sesuatu yang menarik tentang Adza Irdawati juga adalah kreativitinya berkarya kini mula diolah kepada penulisan novel interaktif.

Novel interaktif sedang dalam proses pembikinannya, khusus untuk kanak-kanak dan remaja berusia antara 11 hingga 17 tahun bertajuk Mitosia, dijangka disiarkan tahun hadapan – satu-satunya novel interaktif pertama di Malaysia.

Berdikari demi anak-anak

Kehilangan suami sejak tujuh bulan lalu cukup menguji ketabahan ibu tunggal ini dalam meneruskan hidup bersama anak-anak. Walaupun ujian ini agak getir semuanya ditempuhi dengan tabah.

“Bulan pertama kehilangan suami, saya cukup sedih sehinggakan tidak dapat memberi tumpuan kepada anak-anak. Malah kerja-kerja yang dilakukan selama ini juga tertangguh. Namun berkat sokongan ahli keluarga yang sentiasa memberi nasihat akhirnya saya bangkit semula,” katanya.

Ketabahannya membesarkan anak-anak berusia antara 17 hingga 7 tahun ini membuatkannya mengambil keputusan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga dengan melakukan perniagaan online iaitu HashTee.com.

“Jika dahulu saya boleh bergantung dengan suami tetapi sekarang semua terletak di bahu saya. Jika hanya mengharapkan menulis skrip semata-mata tidak memadai kerana kos sara hidup sekarang makin meningkat.

“Jadi sekarang ini saya mengambil tempahan mencetak baju T untuk jabatan, korporat dan orang perseorangan. Biarpun baru tiga bulan menceburi perniagaan ini sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.-sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");