Berita Hari Ini

Bekalan Ubat Mencukupi Sepanjang Musim Banjir – Dr Hilmi

ALIK PULAU: Bekalan ubat-ubatan dijamin mencukupi sepanjang musim banjir walaupun terdapat beberapa klinik dilapor ditenggelami air, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya dua klinik dimasuki air sehingga paras dada di sekitar Kelantan sejak beberapa hari lepas namun sebahagian perkakasan perubatan di dalam bangunan terlibat sempat dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

“Saya akan meninjau lokasi kejadian Isnin ini untuk meninjau keadaan klinik berkenaan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai kerosakan dan sebagainya selain melawat mangsa banjir di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sekolah peringkat Parlimen Balik Pulau dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini Sabtu.

Katanya, klinik sementara akan ditempatkan di pusat pemindahan yang mempunyai lebih 1,000 mangsa banjir dengan lima petugas kesihatan akan ditugaskan pada satu masa secara bergilir.

“Mereka terdiri daripada seorang doktor, dua pembantu perubatan serta dua jururawat dan bilangan itu akan ditambah mengikut keperluan,” katanya.

Dr Hilmi berkata, klinik bergerak menggunakan bot serta kenderaan pacuan empat roda turut akan melakukan rondaan berjadual bagi memberi bantuan segera kepada mereka yang memerlukan.

Beliau turut menasihat pesakit yang perlu menggunakan ubat secara berterusan mendapatkan bekalan ubat tambahan untuk sepanjang tempoh musim banjir sebagai persiapan awal.

Terdahulu dalam program berkenaan 600 pelajar sekolah rendah dan menengah menerima bantuan persekolahan berbentuk baucar bernilai antara RM100 dan RM120 setiap seorang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");