Perak Hari Ini

Berfikir Secara Bijaksana, Elak Percanggahan Pendapat -Sultan Nazrin Shah

KUALA KANGSAR : Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengingatkan pemimpin dan rakyat agar dapat berfikir secara bijaksana bagi mengelakkan percanggahan pendapat dalam perkara-perkara yang wujud daripada percambahan pemikiran.

Baginda bertitah, manusia yang bijaksana akan mentafsir ciptaan ILAHI yang pelbagai itu sebagai aset berharga.

“Kepelbagaian mengizinkan berlakunya kelainan pandangan dan pendapat yang akan membenarkan berlangsungnya percambahan pemikiran hingga membolehkan tercetusnya kelahiran idea bernas serta penemuan baru untuk manfaat manusia sejagat.

“Amatlah malang kepada tamadun sesuatu bangsa dan peradaban manusia sejagat jika kelainan serta perbezaan dilihat dari lensa negatif yang sarat dengan buruk sangka,” titah baginda.

Baginda bertitah, sikap negatif sedemikian akan hanya merosakkan hubungan harmoni sesama manusia dan semestinya akan menjejaskan paksi keseimbangan atau ‘the axis of equilibrium’ dalam hubungan antara kaum dan hubungan antara agama.

“Kelainan pendapat dan pandangan hendaklah diuruskan secara positif dan konstruktif, dimana disediakan platform konsultasi serta forum perundingan untuk menerokai titik pertemuan di samping menghormati sempadan perbezaan.

“Islam mengharuskan dan membolehkan berlakunya kelainan pendapat dan pandangan hingga terbentuknya empat mazhab utama.

“Perdebatan secara konstruktif, amalan konsultasi dan perundingan berlaku pada era Rasulullah (S.A.W), diteruskan oleh para sahabat dan dilanjutkan oleh ulama tersohor.

“Amalan konsultasi dan perundingan telah membina budaya dan tata cara urus tadbir yang inklusif serta partisipatif, memungkinkan Islam mudah diterima dan senang difahami hingga terbinanya era keagungan Islam,” baginda bertitah.

Titah baginda lagi, mereka perlu mencontohi sifat-sifat ulama pada zaman silam yang kaya menguasai khazanah ilmu, bersifat zuhud lagi merendah diri, berfikiran terbuka menerima perbezaan, sabar lagi teliti sebelum menjatuhkan hukum dimana sifat-sifat tersebut berperanan besar dalam melukiskan keindahan Islam sebagai agama yang memiliki wajah yang mulia, sederhana, adil lagi saksama.

“Keindahan bermasyarakat akan tercapai apabila ulama-ulama tersohor dan umat Islam berjaya meraikan perbezaan dan memahami kepelbagaian tuntutan dengan semangat berunding dalam suasana yang harmonis.

“Umat manusia wajib dididik untuk bersedia mengamalkan prinsip ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ atau ‘agree to disagree’ agar tidak wujud pemikiran autoritarian dan totalitarian yang merasakan dirinya betul semua dan pihak lain salah semua,” Titah Sultan Nazrin.

Justeru, titah baginda lagi, umat manusia hendaklah menerima sifat ketidaksempurnaannya dan bersedia untuk ditegur, belajar dan terus belajar, serta bersedia membetulkan kesilapan, agar terbimbing menjadi sebaik-baik khalifah ketika memenuhi amanah di bumi milik ILAHI ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");