Sukan Hari Ini

Chelsea benam West Ham 2-0, kekal terajui liga

LONDON: Jaringan daripada John Terry dan Diego Costa meneruskan penguasaan Chelsea di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam West Ham 2-0 di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Pada pertemuan tetangga London itu, Chelsea jelas menguasai sebahagian besar permainan terutama di bahagian tengah yang diketuai Cesc Fabregas, Nemanja Matic, Willian dan Oscar.

Kembali beraksi sehari selepas cuti Krismas, Chelsea yang belum pernah tewas di gelanggang sendiri musim ini membuka tirai jaringan menerusi kapten, Terry pada minit ke-31 yang mudah menolak masuk bola tandukan padu Costa di depan gawang West Ham.

Menerusi sepakan sudut Fabregas, Costa yang sudah meledak 13 gol musim ini melonjak tinggi dan melepaskan tandukan yang pantas disambar Terry.

Di awal permainan, West Ham yang sebelum ini dikritik jurulatih Chelsea, Jose Mourinho atas corak bertahan yang ditampilkan musim lepas terlebih dulu melakukan cubaan menerusi Andy Carroll yang melepaskan rembatan voley seawal minit pertama namun sekadar melepasi palang.

Chelsea begitupun pantas membalas menerusi cubaan Oscar yang bergandingan baik dengan rakan senegara, Willian namun cubaannya juga tersasar sekalipun hanya berdepan penjaga gol Hammers, Adrian.

The Blues juga hampir mendapatkan penalti selepas Eden Hazard dijatuhkan Winston Reid di dalam kotak penalti namun pengadil, Michael Oliver mengarahkan permainan diteruskan.

Babak kedua tampil lebih menarik dengan kedua-dua pasukan semakin rancak memburu jaringan.

Begitupun, Chelsea membuktikan mengapa mereka mampu berada di puncak liga dengan menampilkan permainan konsisten sebelum Costa mempamer sepenuhnya ketajaman selaku penyerang dengan meledak gol pada minit ke-62.

Penyerang Sepanyol itu dengan bergaya memperdaya beberapa pemain Hammers sebelum meledak jaringan dari kiri gawang.

Hammers sebelum ini tidak pernah gagal menjaringkan gol di tempat berjaya memperoleh beberapa peluang dan hampir memecah gawang Chelsea pada minit ke-87 namun tandukan Morgan Amalfitano terkena tiang.

“Kami layak menang, kami bermain dengan amat baik menentang lawan yang amat sukar,” kata Mourinho.

Kemenangan menyaksikan Chelsea kekal di puncak EPL dengan mengumpul 45 mata selepas 18 perlawanan, enam mata di depan Manchester City yang akan beraksi selepas ini.

Kekalahan bagi West Ham pula menyaksikan kelab bimbingan Sam Allardyce itu berkemungkinan terlepas kedudukan kelompok empat terbaik liga. – Agensi-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");