Laporan Eksklusif

Kronologi Perebutan Hak Milik Line Clear Restoran

PULAU PINANG : 11 waris pengasas Line Clear Restaurant, Pulau Pinang menuntut hak mereka dikembalikan oleh pihak yang berkenaan dan membantah sistem pengiliran yang diarahkan pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Permasalah itu timbul berikutan berlakunya percanggahan pendapat terhadap pemilik premis tersebut selepas tiga individu termasuk salah seorang menantu kepada seorang waris telah memohon pendaftaran baru di atas nama Restoran Nasi Kandar Line Clear untuk mendapatkan lesen.

Menurut anak kepada salah seorang waris, Lokman Madinah, 34, pertelingkahan berlaku apabila empat individu tersebut telah menafikan hak pemilikan 11 orang waris yang lain.

“Pertikaian berlaku apabila pada tahun 2010, salah seorang daripada individu tersebut iaitu Pathima Sekandar telah memberi kuasa kepada menantunya, iaitu Abdul Kadir Zainal Abidin untuk menjaga kedai tersebut.

“Namun apa yang telah dilakukan oleh Abd Kadir adalah beliau telah menubuhkan satu pendaftaran syarikat yang baru dengan mengabaikan pendaftaran syarikat yang telah kami lakukan pada tahun 2002 dimana kesemua 14 penama tersenarai di dalam SSM tersebut,” katanya.

lineclear2
Beliau berkata, wujud satu pakatan antara individu tersebut untuk menyingkirkan kesemua waris yang layak ke atas perniagaan tersebut.

“Di sini kami percaya bahawa tiga individu tersebut iaitu Sahubarali China Mohd Hanibah, Abdul Latif Thulkarunai dan Pathumah Iskandar bersama Abdul Kadir telah melakukan komplot untuk memansuhkan kesemua sebelas ahli keluarga.

“Mereka telah menukar kesemua perkara yang melibatkan premis tersebut termasuklah EPF, SOCSO dan segalanya kepada pendaftaran SSM yang baru itu.

“Ini menjadi persoalan, mengapa mereka perlu membuka pendaftaran yang baru sedangkan pendaftaran yang lama masih sah,” katanya kepada Peraktoday.com.my ketika ditemui di premis berkenaan dekat Pulau Pinang malam, semalam.

Jelasnya, keadaan bertambah rumit apabila pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengeluarkan lesen kepada tiga individu tersebut dengan mengabaikan pemilik sebenar yang sedang menjalankan perniagaan tersebut.

 

lineclear3

 

“Pihak MPPP telah mengeluarkan lesen kepada mereka sedangkan permohonan daripada pemilik yang menjalankan perniagaan iaitu  Abdul Hamid SN Seeni Packir tidak diluluskan.

“Kami hanya dimaklumkan untuk berbincang setelah lesen dikeluarkan … sepatutnya perbincangan perlu dilakukan sebelum lesen dikeluarkan.

“Hal ini adalah tidak adil kerana wujud pilih kasih disebabkan mereka memberikan lesen tanpa melakukan siasatan terlebih dahulu.

“Kami telah menghantar surat kepada pihak majlis untuk mengadakan bantahan terhadap lesen tersebut tetapi mereka telah membalas surat berkenaan kononnya cadangan kami akan dibawa ke majlis untuk dibincangkan namun ianya senyap begitu sahaja,” tambahnya.

Masalah tersebut katanya, berlarutan sehingga kini tanpa ada satu keputusan yang pasti berikutan tiada pertemuan dibuat antara tiga individu tersebut dengan keluarga waris yang telah menjalankan perniagaan tersebut.

“Kita ingin mengadakan pertemuan dengan tiga individu tersebut, namun seakan ada pihak yang menghalang untuk kami berjumpa kerana sekiranya kami berjumpa, masalah ini akan selesai,” kata beliau lagi.

Justeru, beliau berharap perkara tersebut dapat diselesaikan tanpa ada campur tangan pihak luar dalam urusan keluarga berkaitan perniagaan nasi kandar tersebut.

“Saya harap tiga individu tersebut mahu berjumpa dengan pihak kami untuk menyelesaikan masalah ini tanpa ada campur tangan daripada mana-mana pihak.

“MPPP tiada hak untuk masuk campur dalam hal keluarga… biar kami sendiri pergi ke mahkamah, dan uruskannya untuk selesaikan perkara ini,” jelas beliau lagi.

Lokman juga berkata, pihaknya telah sepakat untuk menggunakan pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Jalan yang paling terbaik, kita telah meminta mereka untuk melakukan sumpah Muhabalah (laknat) bagi mengetahui pihak mana yang benar dan pihak mana yang salah, namun sehingga kini mereka tidak mahu melaksanakannya.

“Kita juga akan membawa kes ini ke mahkamah bagi mendapatkan keputusan yang sebenar dan sekiranya pihak mahkamah mengesahkan bahawa kami perlu meninggalkan perniagaan tersebut, kami akan lakukan sedemikian.

“Kami daripada 11 keluarga waris ini sebulat suara membuat keputusan tidak akan menyerahkan resepi turun temurun ini kepada mereka,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");