Isu Panas

Lulus 24 jam

Kuala Lumpur: “Selepas ini dalam tempoh 24 jam saja, permohonan baru keahlian secara dalam talian UMNO akan disahkan sekiranya segala maklumat diberikan tepat dan sahih,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO berkata, tujuan utama pendaftaran melalui sistem dalam talian adalah untuk menyelesaikan segala kerumitan dan hambatan yang membabitkan permohonan baru selama ini khususnya bagi golongan muda.

Beliau menegaskan, pucuk pimpinan parti sudah ‘letih’ dengan pelbagai isu birokratik dan kerenah membabitkan borang keahlian yang merencatkan proses penambahan ahli.

“Hari ini kita lakukan peremajaan seperti yang kita katakan semasa perhimpunan agung. Cerita orang hantar borang tapi tak diterima, kena isi borang sampai dua tiga kali, kita sudah letih.

“Sistem ini bererti kita boleh mohon dalam talian dan dipaparkan segala maklumat diperlukan dan kalau tipu, keahlian boleh terbatal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Keahlian Dalam Talian UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Turut hadir Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Najib yang juga Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya mencadangkan pendaftaran keahlian cara tersebut.

Cadangan itu mendapat sokongan padu khususnya Pemuda dan Puteri yang menyifatkan tepat pada masanya dalam menarik lebih ramai profesional dan golongan muda menyertai parti.

Sementara itu, Najib berkata, ramai golongan muda berminat menyertai parti tersebut.

“Apabila saya tanya mereka kata tak tahu macam mana nak jadi ahli. Tak kenal ketua bahagian dan lebih dahsyat lagi ada yang kata sudah mengisi borang, tapi borang dikatakan hilang,” katanya.

Beliau berkata, selain mengurangkan masalah birokrasi hasrat UMNO ialah membuka keahlian kepada generasi Y.

“Ini juga selaras dengan perkembangan teknologi semasa juga untuk anak kita yang belajar di luar negara kerana mereka lepas ini juga boleh mendaftar dengan mudah sebagai ahli UMNO, terus ada nombor ahli,” kata beliau.

Selain itu beliau menjelaskan langkah itu ialah proses peremajaan parti dengan membuktikan bahawa UMNO menggunakan teknologi serta aplikasi baru.

“Kalau dulu bersemuka kini kepada tekonlogi Internet dan saya harap sistem baru ini diterima pakai selain disambut dengan begitu baik serta positif sekali di semua peringkat,” katanya.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");