Laporan Eksklusif, Panasnya Hari Ini

Mendepani cabaran, ancaman 2015

Putrajaya: Cabaran keamanan, keselamatan dan keharmonian; menangani rasuah dan salah guna kuasa; amalan konsep solidariti nasional serta amalan budaya berprestasi tinggi.

Itu empat perkara penting digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat penjawat awam terutama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mendepani cabaran dan ancaman pada tahun 2015.

Najib mengumumkan empat perkara itu pada sesi terakhir Perhimpunan Bulanan JPM bagi tahun 2014 di Dataran Putra, Bangunan Putra, di hadapan warga JPM, di sini, semalam.

Menurutnya, empat perkara itu perlu diberi perhatian serius dan fokus oleh penjawat awam dan warga JPM bagi membolehkan Malaysia mencatat kejayaan lebih cemerlang pada masa depan.

Mengulas cabaran keamanan, keselamatan dan keharmonian, Najib berkata, kerajaan menyedari ancaman militan Negara Islam (IS) sehingga satu kertas putih dibentangkan di Parlimen, baru-baru ini.

“Berdasarkan maklumat, seramai 39 rakyat Malaysia terbabit dalam IS di Syria dan Iraq, malah kerajaan berjaya menahan 40 warga Malaysia yang cuba menyertai kumpulan itu.

“Sebelum ini, seorang rakyat Malaysia menjadi pengebom berani mati sehingga menyebabkan 25 askar Syria terkorban. Malah, terdapat kemungkinan ada seorang lagi rakyat Malaysia terbabit dalam aktiviti sama, namun menggunakan nama samaran hingga menyebabkan 50 orang terbunuh,” katanya.

Katanya, beliau mengakui IS adalah satu ancaman serius, justeru, kerajaan mengambil keputusan membentangkan rang undang-undang khas dan pindaan rang undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada sesi Parlimen akan datang supaya negara mempunyai kemampuan menangani ancaman itu.

Najib berkata, kerajaan juga akan mengambil tindakan mengukuhkan kemampuan menghadapi ancaman yang berlaku di Sabah terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Selain itu, katanya, keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 bukan untuk menyekat demokrasi atau mencengkam pembangkang, sebaliknya memastikan tidak berlaku konflik membabitkan kaum dan agama di negara ini.

“Keputusan itu dibuat kerana masih terdapat anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab, tidak mengamalkan demokrasi, tidak menghormati antara kaum dan agama sehingga membawa tahap ketegangan yang semakin meningkat.

“Negara maju seperti Amerika Syarikat juga masih gagal menangani soal perkauman dan kerap berlaku rusuhan di negara berkenaan,” katanya.

Mengenai amalan konsep solidariti nasional pula, Najib berkata, beliau menyeru semua pihak memberi perhatian kepada usaha memupuk perpaduan nasional dan solidariti.

“Biarpun ia satu proses yang memakan masa, namun kita harus menunjukkan kematangan berasaskan kepada nilai saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Saya puji solidariti ditunjukkan rakyat Malaysia pada 22 Ogos ketika Hari Perkabungan Negara ekoran insiden tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut meminta penjawat awam terus mengamalkan budaya prestasi tinggi dengan meningkatkan produktiviti, meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam budaya kerja masing-masing.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");