Membawang Hari Ini

Ophilia papar semangat setia kawan

NAMA Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni tanah air.

Kepakarannya sebagai pengarah sinematografi dalam beberapa filem pecah panggung seperti Adnan Sempit, Rock Oo! Rimba Bara Kembali, KL Menjerit berjaya melonjakkan namanya dalam industri perfileman tempatan.

Memulakan kerjayanya dalam sinematografi pada 2002 menerusi filem Bukak Api dan KL Menjerit, anak didik pengarah terkenal, Bade Azmi ini telah berkhidmat untuk lebih 30 buah filem dan hampir kesemuanya menerima maklum balas yang positif daripada penonton.

Kini suami kepada pelakon Sharifah Shahora ini, terus membuktikan kemampuannya dalam bidang pengarahan menerusi filem, Ophilia.

Mempertaruhkan pelakon hebat iaitu Pekin Ibrahim, Que Haidar di samping Kodi Rasheed, sebagai teraju utamanya.

Filem ini juga turut dijayakan oleh Nursajat Diva, Zizan Nin, Michael Ang, Vanidah Imran, Riz Ameen, Johan Asaari dan Sharifah Shahora.

Ia mengisahkan mengenai tiga sekawan yang mengamalkan budaya ‘skinhead’, Uji (Pekin), Ozzi Gandum (Que) dan Totoi (Kodi), bertembung dengan Ophilia, seorang perunding kumpulan kongsi gelap terbesar di Kuala Lumpur.

Akibat konflik di antara mereka berempat, Ophilia telah terbunuh dengan tidak sengaja. Berikutan peristiwa ini, tiga sekawan ini diburu oleh kongsi gelap yang menuntut mereka membayar pampasan sebanyak RM75,000.

Biarpun mengangkat kehidupan golongan ‘skinhead’ di luar sana, namun bagi penulis, Ophilia adalah sebuah karya yang lebih telus dan segar.

Ini kerana Raja Mukhriz memaparkan sisi lagi golongan ini dan sedikit sebanyak membuang sentimen masyarakat yang beranggapan golongan ini kasar dan bermasalah.

Hakikatnya mereka mempunyai sikap setia kawan dan sentiasa bersatu dalam apa juga keadaan yang menimpa orang di sekeliling mereka.

Malah penyusunan jalan cerita yang ringkas, namun plot yang menyelitkan banyak unsur kejutan dan tanda tanya menambahkan lagi keseronokan penonton untuk menonton filem ini hingga ke akhirnya.

Ketelitian sudut teknikal

Bukan itu sahaja, permainan gerak dan sudut kamera yang mengetengahkan banyak syot cantik juga membuatkan ia bukan seperti filem biasa yang kita tonton hari ini.

Di tambah pula dengan pengalaman Raja Mukhriz sebelum ini menjadikan sinematografi filem ini cukup ‘superb’.

Bukan di sahaja, permainan pencahayaan dengan mood yang gelap sesuai dengan isi perjalanan cerita filem ini yang memaparkan sisi berbeza golongan ‘skinhead’ yang selamat ini hidup dengan pandangan kurang senang masyarakat.

Bahkan selitan muzik juga sentiasa bersesuaian dan kena pada masanya membuatkan kita tidak akan terganggu dengan muzik yang tidak kena pada tempatnya.

Pelakon kelas A

Seperkara lagi yang menarik mengenai filem ini adalah pemilihan para pelakon yang pada pandangan penonton sangat bertepatan.

Lakonan bersahaja Pekin dan penghayatan watak panas baran Que membuatkan penonton merasa berbaloi membayar tiket untuk filem ini.

Malah kehadiran Kodi pula tidak hanya sekadar mencukupkan syarat, tetapi dia memberi keseimbangan kepada kedua-dua watak itu secara keseluruhannya.

Selain itu, lakonan mantap Zizan Nin pula tidak perlu dipertikaikan. Membawakan watak yang cukup berbeza dari watak yang pernah dibawakan sebelum ini memberi salah satu sebab mengapa anda wajib menonton filem ini.

Begitu juga dengan lakonan Johan As’aari yang agak berkesan dan paling penting bagi sesiapa yang ingin melihat Que dan Johan berlakon bersama, anda patut menonton filem ini, kerana Raja Mukhriz telah merealisasikan impian anda.

Secara keseluruhannya, filem Ophilia perlu menjadi salah sebuah filem yang anda perlu tonton sebelum hujung tahun ini kerana ia memberi anda nafas baru bagi filem Malaysia.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");