Jenayah

Pegawai imigresen didakwa

Johor Bahru: Seorang pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas 12 pertuduhan memiliki dua pasport warga asing dan 10 cop Imigresen Malaysia bagi tujuan pemalsuan, sembilan bulan lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Farez Bujang, 22, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki 10 cop tertera Imigresen Malaysia Bangunan Sultan Iskandar dan Jeti Stulang Laut terdiri lima cop pas lawatan dan lima cop keluar bagi tujuan pemalsuan.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa tanpa kuasa yang sah memiliki dua pasport antarabangsa milik dua orang warga negara Filipina dan Nepal dan dia dituduh mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di stesen minyak BHP, Taman Kemas, Tampoi di sini, pada jam 2.50 pagi, 2 Mac lalu.

Tertuduh yang bertugas sebagai pegawai imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, memohon jumlah jaminan yang rendah dengan alasan hanya memperoleh gaji RM1,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM44,000 bagi semua pertuduhan itu dan menetapkan 14 Januari 2015 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Saniayati Andi Mansur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");