Laporan Eksklusif

Pemilik Line Clear Restoran Kesal MPPP Bertindak Tanpa Berbincang

PULAU PINANG : Pemilik Line Clear Restoran mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang membuat keputusan untuk menyerahkan sistem giliran perlesenan perniagaan tersebut tanpa berbincang dengannya serta pemilik-pemilik berdaftar yang lain.

Abdul Hamid SN Seeni Packir memberitahu, pihaknya tidak dimaklumkan tentang keputusan yang diambil pihak MPPP itu sebaliknya diberikan surat arahan supaya mengosongkan premis yang terletak di persimpangan Lebuh Chulia dan Jalan Penang berkuatkuasa 1 Januari 2015.

“Tindakan MPPP yang mengeluarkan kenyataan sebelah pihak kepada media amat dikesali kerana mereka langsung tidak mahu berbincang sebelum ini biarpun kami sudah berkali-kali meminta untuk mengadakan perbincangan.

“Tanpa sebarang perbincangan dan siasatan, tiba-tiba surat yang kami terima amat mengejutkan kerana diminta berundur dari sini pada 1 Januari 2015 bagi memberi laluan kepada pemilik yang baru,” katanya kepada PerakToday di sini.

LINE CLEAR

Beliau berkata, pergolakan dalaman isu perebutan pengurusan sepatutnya tidak dicampuri boleh MPPP kerana tugas mereka hanya mengeluarkan lesen kepada peniaga mengikut permohonan dan daftar milik yang sah berlandaskan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Abdul Hamid berkata, tiga individu yang tiada hak dan kepentingan dalam perniagaan warisan keluarganya telah menuntut untuk menguruskan restoran berkenaan sedangkan mereka bukanlah pemilik yang sah.

“Kami amat hairan, tiga orang ini iaitu Abdul Latif Thulkarnain, Pathumah Sekandar dan Sahaburali China Mohamad tidak mempunyai hak kepada perniagaan ini dan hanya di bawa bekerja pada tahun 1982, namun lesen boleh sewenang-wenangnya diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, meskipun pelbagai bantahan telah dibuat termasuk memanggil Liga Muslim Pulau Pinang sebagai orang tengah untuk berbincang mengenai perkara ini bersama tiga individu, namun mereka tetap mengelak daripada bertemu dan enggan hadir ke sebarang mesyuarat.

Susulan daripada itu katanya tanpa ada usul periksa, pihak MPPP telah memutuskan untuk melesenkan perniagaan berkenaan kepada individu berkenaan dan menghalau pemilik sah dari lokasi yang sudah diwarisi sejak turun-temurun.

“Kami sudah puas membawa perkara ini ke pelbagai pihak namun tiada siapa yang sudi tampil menunjukkan kebenaran sehingga kami pula terpaksa ‘mengemis’ dengan orang luar yang cuba merampas hak kami.

“Kami sanggup menggadaikan nyawa kami demi mempertahankan hak kami di sini.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");