Jenayah

Percutian bertukar tragedi

Kuala Lipis: Perjalanan lima sekeluarga untuk bercuti di bandar ini berakhir dengan tragedi apabila terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain hingga mengorbankan nyawa seorang daripada mereka di Kilometer 14, Jalan Kuala Lipis-Merapoh, berhampiran Padang Tengku, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan mangsa, Mohd Sofian Mat Daud, 37, dari Seri Gombak, Selangor, meninggal dunia empat jam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis, di sini.

Isteri mangsa, Hazmi Adam, 37, dan bapa mentuanya, Adam Awang, 86, serta dua anaknya, Puteri Batrisya Mohd Sofian dan Puteri Balqis masing-masing berusia tiga dan 12 tahun parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, kejadian berlaku apabila Mohd Sofian yang memandu kereta Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju ke Merapoh.

Katanya, namun ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandunya dikatakan melanggar lopak air menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan lain.

“Sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki seorang lelaki, Tuan Mohd Khuzaie Tuan Rosli, 22, bersama bapanya, Tuan Rosli Tuan Abdullah, 48, dari arah Merapoh ke Kuala Lipis gagal mengelak kereta Mohd Sofian yang secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan menyebabkan mereka bertembung.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dengan menghubungi pihak berkuasa sebelum anggota bomba tiba di lokasi 10 minit kemudian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Mohd Sofian dan Tuan Mohd Khuzaie serta bapanya dihantar ke Hospital Kuala Lipis manakala semua penumpang Proton Iswara dimasukkan ke HOSHAS untuk rawatan lanjut.

“Mohd Sofian disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam, semalam (kelmarin), selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lipis dan mangsa lain dilaporkan stabil.

Mohd Noor berkata, ketika kejadian keadaan cuaca mendung dan jalan licin berikutan hujan lebat dan siasatan mendapati pemandu Perodua Myvi tidak memiliki lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

-HMetro-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");