Berita Hari Ini

Pinda Akta Antipemerdagangan Orang

PUTRAJAYA – Pindaan Akta Antipemerdagangan Orang yang akan dilaksanakan Mac tahun depan bakal menambah baik beberapa aspek bagi melindungi mangsa pemerdagangan manusia.

Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Muhd Khair Razman Mohamed Anuar berkata, antaranya termasuklah memastikan individu yang dikenal pasti sebagai mangsa oleh mahkamah mendapatkan pampasan walaupun tergolong sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Ketika ini, mahkamah tetap mengkategorikan Pati sebagai mangsa. Namun, dalam kes majikan tidak membayar gaji misalnya, kita perlu rujuk akta lain iaitu Akta Kerja.

“Malangnya Akta Kerja pula hanya melindungi pekerja yang sah. Jadi, kita mahu pinda Akta Antipemerdagangan Orang agar mangsa berpeluang dapat hak atau pampasan walaupun berstatus Pati,” katanya.

Pindaan tersebut juga akan memasukkan peruntukan penubuhan jawatankuasa peringkat kementerian dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahdi Hamidi dan turut melibatkan kementerian lain.

“Kes buruh paksa, buruh kanak-kanak atau pekerja di ladang kelapa sawit bukan di bawah kuasa KDN. Jadi kita kena libatkan kementerian lain secara langsung.

“Melalui pindaan ini, kita akan memasukkan kementerian yang terlibat sebagai ahli Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran. Sekaligus ini menunjukkan komitmen kerajaan benar-benar tinggi untuk menangani kes pemerdagangan orang,” katanya.

Mengenai rumah perlindungan mangsa, Muhd Khair berkata, pindaan akta itu akan menambah penglibatan NGO seperti dilakukan kebanyakan negara maju lain.

“Semua rumah perlindungan yang ada ketika ini di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Selepas pindaan, kita beri peluang kepada NGO untuk sama-sama uruskan rumah perlindungan ini.

“Masalah pemerdagangan orang bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi perlu sokongan NGO dan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara cabaran terbesar dalam menangani masalah pemerdagangan orang ialah kesukaran mensabitkan kes kerana kerelaan mangsa sendiri menarik balik kes.

Katanya, ia dapat dilihat melalui statistik sabitan kes pemerdagangan orang yang terlalu sedikit iaitu 128 kes berbanding jumlah mangsa diselamatkan seramai 1,949 orang sejak 2008 sehingga Oktober 2014.

“Contohnya, ada kes majikan tidak bayar gaji dan kemudian dibawa ke mahkamah. Bagi melepaskan diri, majikan sanggup bayar kepada mangsa.

“Mangsa pula dengan rela hati menarik balik kes kerana sudah dapat bayaran. Kita tidak boleh paksa mangsa untuk meneruskan kes kerana perlu ada elemen sukarela,” katanya.

Selain itu, katanya, Malaysia juga sering dijadikan negara transit bagi aktiviti pemerdagangan orang kerana permintaan tenaga kerja yang tinggi.

Oleh itu, menurut beliau, Malaysia sedang merancang untuk adakan konvensyen di peringkat Asean tahun depan bagi mendapatkan kerjasama negara Asia Tenggara lain bagi menangani jenayah tersebut.

“Dalam kalangan negara Asean, ada yang jadi negara sumber, transit dan destinasi. Kita tidak mahu berat sebelah apabila hanya negara transit dan destinasi yang dapat masalah.

“Sebaliknya, semua negara perlu ada tanggungjawab untuk atasi isu ini. Perlu ada kesepakatan dan adalah penting supaya perundangan negara selaras dengan konvensyen tersebut,” katanya.-sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");