Membawang Hari Ini

‘Pulangkan Buku cek’

“Saya cabar dia datang berjumpa saya dan kemukakan alasan kenapa dia berbuat begitu,” kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi mengenai tindakan pelakon yang juga Bendahari SENIMAN, Vanidah Imran ‘melarikan’ buku cek persatuan itu sejak Oktober lalu.

Menurut Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 34, sebagai presiden dia ingin tahu sebab sebenar Vanidah bertindak sedemikian dan dia juga bersedia memberikan segala penjelasan yang diinginkan sebagai bukti.

Zed berkata, dia juga tidak mahu segala urusan perbincangan dilakukan menerusi telefon ataupun aplikasi WhatsApp dan lebih selesa jika Vanidah sendiri datang bersemuka dengannya untuk berbincang secara lanjut mengenai masalah atau apa saja perkara ingin dibangkitkan dan diketahuinya.

“Saya seorang yang suka bersemuka apabila berbincang. Tetapi saya kurang gemar berbincang hal penting menerusi panggilan telefon atau menulis mesej dalam WhatsApp.

“Lagi pun, sudah terlalu lama masa diberikan kepada Vanidah untuk dia memulangkan semula buku cek yang diambilnya dan dibawa keluar dari pejabat persatuan.

“Saya beberapa kali menghubunginya, tetapi panggilan tidak dijawab. Bahkan, timbalan presiden dan setiausaha pun pernah hubungi dia, tetapi banyak pula alasan diberi.

“Jadi, sekarang saya cabar dia kemukakan alasan-alasannya dan saya pun sedia memberikan penjelasan yang diperlukan,” katanya.

Jumaat lalu, Zed mewakili SENIMAN membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang berhubung kehilangan buku cek persatuan yang didakwa berada dalam simpanan Vanidah.

Hadir sama membuat laporan, Timbalan Presiden Seniman iaitu Zack Kool, Setiausaha Kehormat Zahrin Ishak dan Penolong Setiausaha Rena Tan.

Zed berkata, tindakan membuat laporan polis itu bukan disebabkan kepentingan dirinya atau mahu memalukan sesiapa, tetapi demi mempertahankan persatuan dan ahli SENIMAN yang lain.

Katanya, Vanidah dipilih sebagai Bendahari pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 (AGM) SENIMAN pada 27 September lalu. Dalam mesyuarat pertama SENIMAN pada 15 Oktober lalu pelakon itu sudah diberi penjelasan mengenai bidang tugas selaku bendahari.

“Bagaimanapun, dia (Vanidah) tidak menjalankan tanggungjawab dipikul sebaliknya dia membawa keluar buku cek milik persatuan.

“Disebabkan tindakannya itu, hingga kini persatuan terpaksa berhutang sebanyak RM22,000 bagi kos operasi iaitu sewa pejabat, gaji pekerja dan bayaran bil membabitkan elektrik, air dan Internet.

“Bukan itu saja, gara-gara ketiadaan buku cek itu perjalanan persatuan juga terganggu kerana tidak boleh menganjurkan sebarang program termasuk memberi sumbangan kepada ahli yang sakit,” katanya.

Zed berkata, dia paling kecewa apabila SENIMAN juga tidak dapat memberi sumbangan kewangan mahupun melakukan majlis tahlil untuk bekas Presiden SENIMAN dan pelakon veteran Allahyarham Datuk Mustapha Maarof yang meninggal dunia pada 15 Disember lalu.

Menurutnya, dia tidak akan membuat laporan polis itu sekiranya Vanidah memulangkan buku cek yang diambil, tetapi pelakon itu tetap berkeras.

Vanidah ketika dihubungi media sebelum ini menjelaskan dia mempunyai alasan tersendiri mengapa dia bertindak mengambil buku cek berkenaan serta enggan mengulas lanjut.

Zed berkata, wang di dalam akaun SENIMAN itu adalah hasil yang berjaya dikumpulkan sepanjang dia menerajui SENIMAN sebelum ini dengan kejayaan menganjurkan kira-kira 500 program.

“Salahkah wang yang ada dalam akaun itu digunakan untuk membayar kos penyelengaraan pejabat, bil, gaji pekerja, penganjuran program dan sumbangan kepada ahli yang sakit?” katanya.

Katanya, persatuan ditubuhkan sebagai komuniti untuk mempertahankan kebajikan ahli yang bernaung di bawahnya dan bukan sebuah syarikat hak milik persendirian.

Sementara itu, Vanidah ketika di hubungi enggan memberi sebarang komen.
-hmetro-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");