Berita Hari Ini

Rimas Diserang Lalat Setiap hari

KAMPAR :  Kehidupan penduduk dan peniaga di sekitar Pekan Ayer Kuning, di sini. tidak lagi tenteram apabila diserang lalat setiap hari.

Penduduk, M Kathirawan, 38, berkata, dia kini bimbangkan tahap kesihatan diri dan keluarga disebabkan serangan lalat yang dihadapi sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan serangan serangga itu termasuk kewujudan ladang penternakan ayam di dalam ladang sawit yang terletak berdekatan perumahan mereka iaitu Taman Ria.

“Masalah lalat itu bertambah buruk apabila tiba musim hujan kerana bilangan serangga berkenaan bertambah dua kali ganda daripada hari biasa.

“Saya mahu pihak  berkenaan dapat selesaikan masalah itu dengan segera kerana kami sekeluarga tidak mampu lagi untuk menghadapinya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati lalat juga menyerang kawasan kedai di sekitar  Pekan Ayer Kuning.

Peniaga kedai makan, Samsiah Khalid, 64, berkata, serangan serangga itu menyebabkan ramai pelanggannya mengadu tidak selesa untuk makan di kedainya.

Jelasnya, dia yang sudah berniaga di sini sejak 40 tahun itu dan masalah lalat itu antara terburuk pernah dialaminya.

“Saya kini tertekan dengan situasi berkenaan kerana sebagai pengendali makanan, isu kebersihan amat dititikberatkan disebabkan lalat boleh menyebar pelbagai penyakit berjangkit.

“Walaupun saya sering membersihkan sekeliling kawasan premis, namun lalat tetap menyerang kedai ini,” katanya.

Samsiah berkata, setiap kali dia menggunakan pelekat perangkap lalat, pasti ratusan lalat terkumpul dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, setiap hari dia akan menggunakan banyak pelekat berkenaan dan mop lantai menggunakan peluntur  untuk mengurangkan  bilangan lalat yang datang ke kedainya.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat membantu mengatasi masalah itu dengan segera,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");