Membawang Hari Ini

Rumah Pusaka Di Simpang Jalan taruhan Mamat Khalid

MENGANGKAT kisah keluarga Datuk Semerah Setongkol, genre filem sebegini bukan lagi asing buat pengarah terkenal, Mamat Khalid.

Pernah meraih kutipan pecah panggung menerusi filem, Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, naskhah ini pastinya bakal memberi saingan buat filem-filem tempatan lain pada lembaran tahun depan.

Bakal ditayangkan pada 1 Januari 2015, filem bergenre komedi seram ini, membariskan pelakon popular seperti, Pekin Ibrahim, Jihan Muse, Syuk SYJ, Bell Ngasri, Fatin Syahirah dan Ahmad Maembong.

Mempertaruhkan muka-muka baharu dalam filem arahannya, akui Mamat ianya bukanlah perkara yang sukar untuk mendapatkan keserasian dan persefahaman daripada barisan pelakon.

“Walaupun mereka merupakan muka-muka baharu dalam filem saya, namun mereka adalah barisan pelakon yang berpengalaman.

“Saya sangat teruja dan seronok bekerjasama dengan mereka kerana mereka sangat profesional dan berdisiplin. Bukan sahaja barisan artis, malah kru produksi juga memberikan kerjasama yang baik dari segi masa mahupun kerja.

“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan komitmen yang mereka berikan dan sudah tentunya jadual penggambaran berjalan dengan lancar,” katanya yang mengambil masa selama 18 hari untuk menyudahkan proses penggambaran.

Filem arahan Mamat untuk tayangan yang ke-13 ini, mengisahkan ahli keluarga Datuk Merah Setongkol yang dipanggil untuk menerima warisan nenek moyang mereka.

Mereka semua dijemput ke rumah nenek moyang mereka dan disambut oleh Johar Zulkifli (Syuk SYJ), penjaga rumah tersebut.

Rashid (Pekin Ibrahim) merasai sesuatu yang tidak kena dengan rumah itu apabila mereka semua diminta untuk mendiami rumah berkenaan. Pada malam itu, bermulalah peristiwa pelik berlaku kepada semua ahli keluarga mereka.

Fokus pada jalan cerita

Bertanya mengenai pandangannya akan keseluruhan pembikinan filem terbaharu ini, Mamat memberitahu dia sangat berpuas hati walaupun berdepan dengan cabaran-cabaran tertentu.

Berbanding filem terdahulu, jelas Mamat, filem ini menampilkan lebih banyak karakter tambahan pula untuk membentuk watak-watak baharu.

“Saya banyak berbincang dengan barisan pelakon untuk mengembangkan watak.

“Kami akan berbincang dan mencari corak serta bentuk komedi yang ingin dipaparkan.

“Dalam pembikinan filem ini, saya banyak memberi mereka ruang untuk beri idea.

“Mana yang elok, saya akan terapkan agar sama-sama dapat hidupkan karakter masing-masing,” katanya lagi.

Memaparkan lokasi sepenuhnya di Batu Gajah, Perak, filem ini turut dilengkapi dengan teknik, Imej Janaan Berkomputer (CGI).

Pun begitu, jelas Mamat, hanya satu babak sahaja yang disunting dengan CGI kerana dia lebih mementingkan jalan cerita dalam setiap karyanya.

“Filem ini tidak disunting terlalu banyak dan sebab itulah ianya lebih cepat menemui penonton di pawagam.

“Proses yang diambil tidak memakan masa berbanding filem yang perlu melalui proses suntingan yang banyak.

“Jika diperhatikan, karya-karya saya lebih tertumpu kepada penceritaan kerana ianya lebih utama untuk tontonan,” katanya lagi.

Sindiran untuk masyarakat Melayu?

Seperti yang kita tahu, filem-filem terdahulu Mamat lebih dekat dengan jiwa masyarakat Melayu yang penuh dengan penceritaan yang pelbagai.

Kali ini, Mamat mengakui bahawa ada unsur sindiran yang ingin dipaparkan kepada masyarakat agar ianya dijadikan pedoman dan pengajaran untuk masa yang akan datang.

“Sejak awal pembikinan lagi, saya memang ingin mengangkat maksud tersirat mengenai saka di mana anak cucu keluarga berkenaan akan diwasiatkan saka berbentuk hantu raya.

“Dalam masyarakat Melayu, perkara ini sememangnya wujud sedangkan ianya adalah syirik dan tidak diperlukan apatah lagi di zaman yang serba moden ini.

“Daripada mewasiatkan saka, lebih baik sekiranya kita mewasiatkan harta benda kepada anak-anak cucu,” katanya.

Jelas Mamat lagi, karya ini dihasilkan menerusi pengalamannya sendiri yang gemar menonton filem Melayu klasik, Pusaka Pontianak, pada satu masa dahulu.

“Selain itu, saya juga turut mengadun elemen-elemen dan idea menarik daripada filem Inggeris kegemaran saya, Murder By Death.

“Pusaka itu bermaksud saka dan dalam kalangan kita, ramai yang tahu mengenai saka Melayu termasuk kenapa kita perlu buang saka ataupun akibat jika seseorang itu membela saka.

“Malah, sebelum memulakan penggambaran, saya membuat kajian dan banyak mendengar cerita saka daripada keluarga saya serta orang sekeliling saya,” kata yang turut berdepan dengan pelbagai gangguan makhluk halus ketikan berada di lokasi banglo lama itu.

Tambah Mamat yang pernah merangkul anugerah Pengarah Terbaik FFM21 ini, dia terpaksa memanggil beberapa ustaz untuk ‘memagar’ lokasi penggambaran filem itu.

Pun begitu, perkara ini tidak pernah diketahui oleh barisan produksi termasuk pelakon selain pengarah fotografi (DOP) sahaja.

Kos produksi paling rendah

Pada mulanya, garapan cerita ini hanyalah untuk penghasilan telefilem sahaja, namun idea ini dikembangkan ke layar perak selepas perbincangan bersama syarikat penerbitan, Ariabella Sdn Bhd.

Hanya menelan kos produksi sekitar RM700,000 sahaja, akui Mamat yang juga pemilik produksi, Enjit Semut Sdn Bhd, ini adalah kos yang paling rendah untuk filem-filem arahannya.

“Pada awalnya, saya menyediakan draf untuk telefilem sahaja, namun selepas berbincang ianya dipersetujui untuk dibawa ke layar perak.

“Namun, saya tidak terlalu banyak mengubah penceritaannya kerana apa yang penting adalah jalan cerita. Walaupun ianya adalah filem bajet rendah, namun saya tetap memastikan ianya adalah filem berjiwa besar.

“Yang penting, penonton dapat merasai apa yang ingin saya sampaikan menerusi filem ini. Selain itu, melihat kepada keadaan industri yang tidak stabil, saya perlu mencari jalan yang lebih kreatif untuk mengurangkan kos produksi,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran kutipan pula, Mamat berkata, terlalu jauh untuk meletakkan apa-apa sasaran buat masa ini.

“Saya tidak berani nak letakkan apa-apa sasaran dalam filem ini dan sudah cukup menggembirakan saya sekiranya dapat memenuhi selera penonton.

“Sebagai pengkarya, saya berharap agar penonton terhibur dengan karya yang dipaparkan dan mengambil kira dari sudut positif akan penyampaian yang diberi,” jelasnya lagi.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");