Berita Hari Ini

Bandingkan harga keperluan dengan buku ‘GST’

ALOR SETAR – Buku Panduan Harga Pengguna (PHP) melibatkan 500 barangan terpilih yang bakal diedarkan ke seluruh negara dalam masa terdekat dilihat mampu membantu pengguna membuat pilihan bijak selain mengelak daripada ditipu peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, buku panduan yang memaparkan perbandingan harga barangan keperluan asas sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) itu dapat membantu pengguna membuat perbandingan harga.

“Tapi pengguna perlu faham bahawa harga yang disenaraikan itu bukannya harga tetap seperti Skim Kawalan Harga yang harganya memang telah ditetapkan tetapi buku panduan ini adalah sebagai garis panduan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah di sini semalam.

Ahmad Bashah menjelaskan kenaikan harga barang boleh berlaku sekiranya bekalan kurang daripada permintaan namun peniaga perlu memastikan kenaikan harga yang dikenakan itu adalah munasabah.

“Mungkin ada barangan yang sukar diperoleh akan dijual dengan harga yang mahal tetapi sekiranya ia dinaikkan dalam 20 sen masih boleh diterima tetapi kalau melebihi harga yang telah dipamerkan dalam buku panduan dengan tidak munasabah mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPDNKK akan memberi notis kepada peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga sebelum menunggu penjelasan daripada peniaga dalam tempoh tujuh hari.

“Sekiranya mereka gagal memberi jawapan yang munasabah kita akan keluarkan kompaun dan rampas barang,” katanya.

Pengedaran buku PHP akan dibuat ke seluruh negara yang merangkumi enam pembahagian zon iaitu Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Utara, Zon Sabah dan Zon Sarawak dan akan diagihkan secara percuma kepada semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

PHP juga boleh didapati di laman sesawang KPDNKK. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");