Membawang Hari Ini

Cicakman3 bakal menggegar

Bekerja dengan dua pengarah dalam menghasilkan sebuah filem hebat bukanlah sesuatu yang mudah.Perbezaan pendapat dan berbalah perkara biasa yang mungkin berlaku.

Namun, bekerja dengan pengarah hebat Ghaz Abu Bakar adalah satu pengalaman menarik buat pengarah filem Cicakman 3, Yusry Abdul Halim apabila Ghaz banyak membantu dalam memberi idea untuk mencantikkan lagi jalan cerita filem berkenaan.

Pertama kali bergabung, Ghaz yang terkenal dengan gaya kreatif terhadap pengarahannya sebelum ini meyakinkan Yusry bahawa kerjasama mereka sesuatu yang sangat tepat.

“Idea asal skrip cerita ini diolah oleh saya. Apabila saya sibuk dengan projek lain ia ditawarkan kepada Ghaz.

“Bila saya tidak sibuk, saya cuba memberi fokus pada filem ini pula. Akhirnya kami sepakat untuk mengarahnya bersama. Bukan kerana tidak yakin dengan Ghaz, tetapi berharap cerita ini tidak lari daripada olahan asal yang saya buat.

“Cicakman 3 bukan sambungan Cicakman 1 dan 2, namun kisah mengenai bandar Metrofulus saya kekalkan daripada filem berkenaan,” kata Yusry ketika ditemui di majlis pelancaran trailer filem Cicakman 3, di Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Menurut Yusry, dia senang bekerjasama dengan Ghaz kerana masing-masing terbuka dalam memberi pendapat.

Cicakman 3 yang melakukan penggambarannya tahun lalu bakal menemui penonton di seluruh negara pada 12 Mac ini.

Filem terbitan tiga syarikat gergasi iaitu KRU Studios, Grand Brilliance dan Astro Shaw itu mengambil masa penggambaran 44 hari membabitkan pelakon seperti Zizan Razak, Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Bell Ngasri, Rykarl Iskandar, Rashidi Ishak, Adam Corrie, Azizah Mahzan, Yus Jambu dan Sathiya.

Sementara itu, Ghaz berkata, mengarah filem di bawah terbitan tiga syarikat gergasi satu cabaran besar buat dirinya.

“Jujur saya katakan sebagai seorang pengarah, bekerja di bawah syarikat yang besar seperti ini membuatkan saya harus sedar diri. Bak kata pepatah, berpijak di bumi yang nyata.

“Diberi peluang untuk mengarah filem Cicakman 3, saya harus memanfaatkannya dengan pengalaman mengarah yang saya ada.

“Setiap babak yang saya lakukan haruslah benar-benar kerana karakter dan bukan kerana emosi diri sendiri. Penerbit juga tidak mengekang kerja saya mereka beri kebebasan untuk berkarya.

“Bekerja dengan Yusry juga tiada masalah kerana dia seorang yang boleh menerima pendapat, malah saya yakin kerjasama kami membuatkan filem ini lebih hebat dan menarik,” katanya.

Cicakman 3 mengisahkan Man (Zizan) suami kepada Linda (Lisa) dan juga bapa kepada Boboy (Rayqal). Sikapnya yang tidak matang dalam hal rumah tangga menyebabkan Linda mengambil keputusan menuntut cerai.

Masalah rumah tangganya semakin rumit dengan kehadiran Inspektor Adam (Fizz Fairuz) yang juga rakan sekolahnya cuba merampas Linda.

Kehidupan Man berubah apabila dia menjumpai minyak serum milik Cicakman yang mampu memberi kuasa luar biasa kepadanya. Dia yang kembali bersemangat dengan kuasa dimiliki itu begitu teruja untuk menjadi superhero.

Walau bagaimanapun, kehadiran Man tidak lagi bermakna di Metrofulus kerana munculnya hero baru iaitu Super-Bro (Yus Jambu).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");