Perak Hari Ini

Dana Pembedahan Belum Mencukupi, Lagi RM180,000 Diperlukan

IPOH: Dana berjumlah RM250,000 yang diperlukan bayi Muhd Aril Zafran Jamilulehsan untuk menjalani rawatan pemindahan hati di luar negara masih belum mencukupi.

Menurut ibunya, Nur Amirah Syazwani, sehingga hari ini, dana yang terkumpul bagi menampung kos pembedahan anaknya di India hanya sekitar RM70,000 sahaja.

“Dana yang terkumpul belum mencecah RM100,000 dan setakat ini, hanya lebih RM70,000 yang berjaya dikumpul,” katanya kepada Peraktoday.com.my ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru Aril, beliau berkata, terdapat perubahan terhadap kanak-kanak tersebut selepas menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Alhamdulillah, setakat ini Muhd Aril Zafran sudah mampu bernafas secara normal selepas keluar menjalani rawatan di PPUM.

“Anak saya juga sudah tidak mengalami sesak nafas dan mampu untuk tidur dengan lena,” katanya lagi.

Katanya, ketika mendapatkan rawatan di PPUM, ubat Albumin dimasukkan dalam badan Muhd Aril Zafran bagi mengeluarkan air melalui air kencing.

“Rawatan ini mampu mendorong paru-paru anak saya berkembang dengan baik,” katanya lagi.

Pada 18 Januari yang lalu, Peraktoday.com.my melaporkan seorang bayi berusia lapan bulan yang menghidap penyakit Biliary Atresia memerlukan bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM250,000 bagi menjalani pembedahan pemindahan hati dalam tempoh masa terdekat.

Muhd Aril Zafran yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Jamilulehsan Mohd Taridi, 28, dan Nur Amirah Syazwani, 22, dikesan menghidap penyakit tersebut seawal usia dua bulan ketika mendapat rawatan bulanan di sebuah klinik.

Orang ramai yang ingin menyampaikan derma dan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 108270021812 (akaun simpanan) ataupun 508270104111 (akaun semasa) di atas nama Nur Amirah Syazwani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");