Jenayah

Diserang kumpulan lelaki bermotor

UMBAI – Seorang juruwang sebuah pusat membeli-belah mendakwa berdepan detik cemas apabila secara tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki bermotosikal yang bertindak membaling batu ke arah keretanya ketika sedang memandu pulang dari tempat kerja di Ayer Keroh.

Mohammad Imran Mazlan, 23, dari kampung Berangan Enam di sini, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.45 malam kelmarin ketika dia baharu sahaja melepasi persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Kebangsaan Tambak Paya.

Menurutnya, suasana ketika itu agak gelap dan langsung tiada kenderaan lain melalui laluan tersebut apabila dia secara tiba-tiba dihimpit sekumpulan bermotosikal yang bertindak membaling batu lalu terkena cermin sisi tempat duduk pemandu.

“Memang saya sedar, sekumpulan lelaki bermotosikal memotong kereta saya tetapi ingatkan mereka sahaja lalu. Tidak sangka tiba-tiba bunyi berdentum pada cermin sisi saya. Apabila saya raba muka, terdapat darah. Rupa-rupanya, muka saya luka disebabkan cermin pecah.

“Saya tidak berhenti ketika itu. Walaupun cermin dah pecah, saya teruskan memandu, sehinggalah tiba di tempat terang dan selamat baru saya berhenti. Saya dapati cermin sisi pemandu habis pecah manakala sebahagian badan kereta turut kemik,” katanya yang menerangkan kejadian yang berlaku itu, di rumahnya, semalam.

Mohammad Imran berkata, panik dengan apa yang berlaku, dia terus pergi ke rumah adiknya di Kampung Telok Emas dan terus membuat laporan di Balai Polis Kandang.

“Sejurus kemudian adik terus menghantar saya ke poliklinik 24 jam di Jalan Mata Kucing. Doktor mendapati pipi kanan saya mengalami luka kecil disebabkan serpihan kaca cermin sisi yang pecah itu.

“Saya sudah lebih empat tahun melalui laluan berkenaan setiap kali pulang dari tempat kerja tetapi tidak pernah pula berdepan dengan peristiwa ini,” katanya.

Dia turut percaya, kumpulan samseng terbabit sengaja menjadikan mereka yang memandu bersendirian sebagai bersendirian mangsa mereka.

“Saya rasa, niat mereka sebenarnya adalah untuk menyamun saya dan menyasarkan cermin bahagian hadapan kereta dengan harapan setelah cermin itu pecah sudah pasti saya akan memberhentikan kenderaan.

“Tetapi mujur hanya cermin sisi sahaja yang pecah dan saya masih boleh meneruskan pemanduan sehingga ke satu lokasi selamat,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");