Jenayah

Dua beranak cemas terperangkap

Alor Gajah: Dua beranak menempuh detik cemas apabila masing-masing terkurung hampir sejam di dalam dan di balkoni rumah mereka di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, di sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 4 petang itu berlaku ketika Zarila Abd Karim, 35, keluar ke belakang tingkat satu ‘town house’ didiaminya untuk mengangkat kain di jemuran dan meninggalkan anaknya, Mohamad Mujil Wafi Nuryasmin, berusia setahun di ruang tamu.

Difahamkan, ketika Zarila berada di balkoni tiba-tiba anaknya menolak pintu tanpa menyedari tombol terkunci dari dalam.

Menurut Zarila, selepas selesai mengangkat baju dia terkejut apabila mendapati pintu dapur menyambungkan balkoni belakang tidak boleh dibuka dari luar lalu memanggil nama anaknya di ruang tamu.

“Bagaimanapun tiada sahutan daripada anak menyebabkan saya panik seketika. Saya semakin panik apabila tiba-tiba mendengar anak menangis ketakutan dari belakang pintu,” katanya yang memberitahu ketika itu suaminya Nuryasmin Md Isa, 33, tiada di rumah kerana bekerja.

Zarila berkata, selepas berusaha membuka pintu dari luar, namun gagal, dia meminta bantuan jiran sebelah membuka pintu, namun juga gagal membuka pintu depan yang dikunci.

Katanya, bimbang kejadian buruk berlaku jiran menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk meminta bantuan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Ridhuan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 4.29 petang.

“Bertindak atas maklumat itu, lima pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, didapati seorang wanita berada di balkoni belakang manakala anak lelakinya terkurung di dalam rumah.

“Bomba menggunakan tangga panjang untuk naik ke balkoni dan membuka tombol pintu yang terkunci dari dalam menggunakan pemutar skru,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");