Laporan Eksklusif

Fasa bantuan kekal

Kuala Krai: “Mudah-mudahan ini semua (bantuan diberikan) memberi kelegaan dan di sebalik kesusahan dialami ada kesenangan nanti,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri meluahkan harapan itu di hadapan lebih 2,000 penduduk daerah ini yang hadir pada Majlis Pelancaran Fasa Bantuan Kekal Untuk Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru, di sini, semalam.

Pada majlis itu beliau mengumumkan permulaan fasa bantuan kekal untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang didahului dengan projek pembinaan rumah kekal iaitu lima buah bagi peringkat pertama.

Najib berkata, beliau memilih Manek Urai untuk melancarkan program sumbangan kekal itu disebabkan ia paling teruk terkesan dan menerima malapetaka paling dahsyat akibat banjir, bulan lalu.

“Saya melihat sendiri keadaan di sini, saya membayangkan keadaannya ketika tempoh kritikal terutama di Manek Urai yang paling teruk ditimpa malapetaka. Justeru, kalau mahu memulakan fasa bantuan kekal, maka di bumi Kuala Krai ini patut dimulakan.

“Kami tahu dan sedar Allah akan menguji dalam kesusahan dan Allah akan uji dalam kesenangan. Hanya mereka yang tabah dan kuat iman, mereka yang bertakwa, insya-Allah akan lepasi ujian.

“Insya-Allah ini saja yang kita berdoa supaya Allah SWT melindungi kita dan supaya fasa bantuan yang kita harapkan ini akan ditunaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, dalam fasa itu kerajaan akan memastikan penyaluran sumbangan dibuat secara berperingkat dengan projek pembinaan rumah kekal di Manek Urai dimulakan ke atas lima kediaman sebelum diteruskan ke 138 unit lagi.

“Kementerian Kerja Raya diletakkan sebagai kementerian bertanggungjawab untuk memastikan rumah dijanjikan ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera kerana di bawahnya terdapat agensi Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Rumah ini nilainya RM48,000 tak termasuk perbelanjaan membuat kerja pembersihan tapak mahupun kerja asas. Keluasan adalah 61.3 meter persegi, menggunakan kaedah binaan terus di atas tanah atau binaan di atas tiang setinggi 2.6 meter dari aras tanah.

“Saya mahukan bukan saja rumah mesti sempurna, tetapi apabila rakyat tidur pada waktu malam, dia tidur dengan selamat, dia tidur dengan rasa selesa itu yang kita mahukan,” katanya yang memberitahu jumlah keseluruhan rumah itu mencapai 120.7 meter persegi termasuk ruang bawah rumah yang boleh digunakan.

Katanya, ada juga penduduk meminta dibinakan rumah di atas tapak tanah dan model rumah begitu disediakan yang mengambil keluasan 74 meter kaki persegi.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan lebih cenderung kepada pembinaan rumah bertiang berikutan memberi jaminan masa depan selain mengurangkan risiko ditenggelami air sekiranya berlaku banjir lagi.

“Kami buat berperingkat dan untuk Kelantan saya juga sudah mohon kepada kerajaan Negeri memberi kelulusan kepada mereka yang tidak ada tanah umpamanya yang status setinggan, tapi rumah musnah seperti mereka yang diami tanah rizab sungai, kumpulan begini, kita minta kerajaan negeri luluskan tapak baru yang selamat dengan segera.

“Lebih utama kita mesti menggunakan kontraktor dan pekerja tempatan supaya ekonomi negara mendapat manfaat kerja pemulihan ini,” katanya yang menjangkakan projek fasa pertama siap dalam tempoh setahun.

Menurutnya juga, rumah yang tidak musnah sepenuhnya, namun rosak akan dibantu membabitkan peruntukan maksimum bagi sebuah rumah RM10,000.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");