Membawang Hari Ini

Hip hop diiktiraf

Ada yang beranggapan sebaik saja lagu Apa Khabar nyanyian dan ciptaan Joe Flizzow dan SonaOne diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29), Ahad lalu, muzik hip hop dan rap mula diberi pengiktirafan.

Namun, muzik berkenaan sudah mula ‘menakluki’ ramai peminat tempatan sejak 1980-an dan 1990-an menerusi kumpulan rap dan hip hop kulit hitam Amerika Syarikat seperti Public Enemy, Run DMC, Tone Loc, Naughty By Nature dan banyak lagi.

Di Malaysia sendiri, siapa yang boleh lupa dengan fenomena yang dimulakan oleh 4U2C pada 1992. Mereka yang ketika itu dianggotai AC (kini lebih popular sebagai Datuk AC Mizal), Azam, Joe, Adik, Lan, Yanz dan Rin mencetus fenomena dalam kalangan gadis remaja dengan lagu Fiona.

Ini diikuti oleh trio adik-beradik iaitu Norman, Edry dan Yusry yang menubuhkan KRU serta Nico, Affa dan Dino bersama kumpulan Nico yang juga singkatan kepada Network International Chicanos Organisation.

Pada 1995 muncul pula Poetic Ammo yang dianggotai Yogi B, Land Slyde, Point Blanc dan C Loco dengan album sulung It’s a Nice Day to Be Alive.

Berbeza dengan kumpulan sebelum itu, Poetic Ammo tampil dengan lagu Inggeris selain turut menyelitkan lagu hip hop dalam bahasa Melayu, Tamil dan Kantonis.

Mengimbau kembali muzik hip hop di sini, pada mulanya ia lebih banyak dipersembahkan secara ‘underground’ di parti atau gigs.

Tidak kurang juga yang menganggap muzik berkenaan seperti merepek apatah lagi jika dilihat pada kumpulan hip hop Barat kebanyakannya suka menggunakan bahasa kasar dan lucah dalam lirik mereka.

Berbeza dengan hip hop di Malaysia, bagi menarik perhatian pendengarnya, setiap bait lagu dan liriknya disusun dengan baik, malah bahasa yang digunakan masih mengikut adat ketimuran di Malaysia.

Mungkin tidak ramai yang tahu, individu yang bertanggungjawab mengetengahkan Poetic Ammo dan Too Phat ke pentas komersial ialah Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Ahmad Izham Omar.

Beliau yang ketika itu Pengarah Urusan Tone Sdn Bhd berkata, ketika membawa artis hip hop menyertai syarikatnya itu, dia sendiri tidak tahu arah tuju muzik berkenaan di Malaysia bagaimana.

“Ketika 4U2C, KRU dan Nico popular, ramai yang tidak tahu bentuk dan jenis apakah muzik berkenaan. Ia kurang didedahkan dan banyak dipersembahkan pada majlis tertutup seperti gigs dan parti. Saya sendiri tidak tahu rentak sebenar muziknya.

“Sebelum mengambil Too Phat sebagai artis, saya ke gigs menonton persembahan mereka.

“Ketika itu dapat saya lihat betapa ramainya peminat mereka dan juga peminat muzik hip hop. Waktu itu, saya terfikir mungkin saya harus beri peluang muzik ini diketengahkan.

“Malah, ketika bertemu kumpulan Poetic Ammo, saya juga tidak terfikir bahawa muzik hip hop boleh dilakukan di Malaysia.

“Saya cuba saja dan keyakinan itu ada bila melihat pengikut muzik hip hop sebenarnya memang ramai. Melalui percubaan lagu Anak Ayam yang pertama dibuat dalam versi bahasa Inggeris nyata sambutan begitu menggalakkan sekali.

“Selepas itu, Too Phat menghasilkan lagu Anak Ayam dalam versi Bahasa Melayu, saya lihat peminat begitu luar biasa,” katanya.

Izham berkata, muzik hip hop sebenarnya sudah ada ramai pengikut. Sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan mereka ketika itu, dia rasa perlu untuk lebih mempopularkannya kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Apabila melihat lagu hip hop diangkat sebagai juara pada AJL29, saya yakin sebenarnya hip hop ada tempatnya tersendiri.

“Malah, peminatnya sudah lama ada hanya kita yang berada dalam industri seni ini perlu memberi peluang untuk mereka lebih dikenali dengan muzik yang dipertaruhkan di samping meramaikan lagi kelompok peminat muzik berkenaan,” katanya.

Bagi Affa dari kumpulan Nico pula, melihat kemenangan yang diraih Joe Flizzow baru-baru ini, dia berasa bangga sebagai salah seorang artis yang turut memperjuangkan muzik berkenaan.

Malah, dia yakin pemuzik hip hop yang ada di Malaysia juga sangat bangga apabila muzik seperti dipandang sebelah mata itu mampu membuka hati ramai pihak sehingga ia diiktiraf ke tempat tertinggi.

“Jika diikutkan Nico adalah antara yang terawal mempertaruhkan muzik hip hop. Mungkin ketika itu hip hop hanya biasa-biasa saja penerimaannya kepada orang ramai.

“Namun kini, dapat dilihat perbezaannya apabila saya bersama Nico membuat kemunculan semula tahun lalu, begitu ramai dan hangat sambutan yang kami terima.

“Sehinggakan ada yang meminta kami menghasilkan lebih banyak lagu. Tidak dinafikan percubaan itu berhasil dan dapat kami lihat peminat sekarang lebih terbuka dan mereka mahukan pembaharuan dan sesuatu yang unik dan pelik,” katanya.

Antara artis hip hop dan rap tempatan

– W.A.R.I.S
– Krash Kozz
– Karmal
– Phlowtron
– Teh Tarik Crew
– Feminin
– Res 2
– M’Steen
– Les Enfant
– Reefa
– Altimet
– DJ Fuzz
– MOB
– Ruffedge
– Naughtius Maximus
– Soulstreet
– Vandal
– Da’ Joint

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");