Membawang Hari Ini

Isu ciplak: Rundingan buntu… jadi kita lawanlah – Yusof Haslam

Kita sudah cuba bercakap hati ke hati sebagai orang Melayu dan Islam, tetapi nampaknya mereka memilih untuk meneruskan kes ini di mahkamah. Jadi kita lawanlah,” kata penerbit filem dan drama terkenal, Datuk Yusof Haslam mengulas kegagalan proses mediasi antara pihaknya dengan penulis novel, Elias Idris berhubung isu filem Bohsia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Selasa.

Yusof atau nama sebenarnya Md Yusof Md Aslam, 61, berkata, dia dan anaknya yang juga pengarah dan pelakon, Mohd Syamsul, 31, akan memulakan tindakan saman terhadap Elias, 63, kerana menyebarkan tohmahan palsu dan cuba menjatuhkan integriti mereka anak-beranak.

Katanya, keputusan itu diambil bagi mempertahankan hak dan reputasi mereka yang tercalar kerana dakwaan penulis novel itu.

“Sebagai orang Melayu dan Islam, sudah tentu saya tidak hendak perkara ini berpanjangan sebab apa yang dicetuskannya tidak ada asas dan merugikan kedua-dua belah pihak.

“Saya kesal dengan tindakan beliau, tetapi pada masa sama kita perlu hormati haknya. Atas dasar itu, kami juga ada hak mempertahankan diri,” katanya dipetik Harian Metro.

Isu itu bermula apabila Elias yang juga penulis novel Aku Bohsia mendakwa beberapa watak dan jalan cerita dalam novel itu ditiru dan diterbitkan dalam bentuk visual menerusi filem Bohsia lakonan, tulisan dan arahan Syamsul tanpa kebenarannya.

Katanya, dia menyedari persamaan yang dipercayai peniruan karya tanpa kebenaran berkenaan selepas menonton filem terbitan Skop Productions itu di saluran Astro pada 2013.

Elias mendakwa, dia pernah berjumpa dengan Yusof sebanyak dua kali pada 6 dan 26 Oktober 2013 untuk membincangkan hal itu, namun tidak dilayan.

Susulan itu, Elias menerusi peguamnya Tetuan Maha & Peri memfailkan writ saman terhadap Syamsul, bapanya dan syarikat produksi mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Berikutan kegagalan mediasi antara kedua-dua belah pihak, semalam, mahkamah menetapkan 6 Februari depan untuk pengurusan kes.

Peguam M Kumanesvaren mewakili Elias manakala peguam Aizul Rohan Anuar mewakili Yusof dan Syamsul.

Melalui writ saman yang dikemukakan kepada mahkamah, plaintif mendakwa filem yang diarah dan diterbitkan defendan mirip, serupa dan menyamai kandungan serta jalan cerita novel yang ditulisnya.

Menurut plaintif, filem itu meraih kutipan jualan tiket sehingga atau melebihi RM4.2 juta dan mendapat sambutan baik di kalangan penonton serta ulasan yang baik daripada pengkritik.-27/1/2015-agendadaily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");