Perak Hari Ini

Kutipan Cukai Tanah Merosot Lima Peratus

IPOH: Tindakan tegas bakal diambil terhadap pemilik yang ingkar melunaskan tunggakan hasil tanah masing-masing bagi menggelakkan trend kemerosotan pembayaran cukai di Perak berterusan.

Menurut Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Perak, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris, kemerosotan jumlah hasil terkumpul dengan kadar lima peratus direkodkan pada lalu berbanding kutipan tahun 2013.

“Komposisi kutipan hasil 2014 membabitkan cukai tanah berulang (tahun semasa) sebanyak 41.9 peratus, kemudian diikuti bayaran premium tanah sebanyak 20.1 peratus; kutipan sumber aktiviti perlombongan (mineral) 13 peratus; bahan batuan 6.7 peratus dan tunggakan cukai tanah sebanyak 5.8 peratus,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi tahun 2014 juga, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM502.84 juta atau 88.97 peratus daripada sasaran kutipan hasil yang dianggarkan sebanyak RM565.17 juta.

Tambahnya lagi, trend pembayaran cukai semasa sejak dua tahun yang lalu dan tunggakan cukai menunjukkan penurunan dari tahun ke setahun.

“Bermula 2013 lagi, kutipan telah merosot kepada 98.7 peratus daripada sasaran dan pada tahun lalu, ia mencapai tahap yang membimbangkan apabila merosot kepada 88.7 peratus,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri perlu memastikan dua jenis cukai tersebut iaitu cukai tanah berulang dan tunggakan cukai dapat dikutip secara optimum bagi mengelakkan kekurangan hasil yang perlu dijana bagi kepentingan rakyat.

Sehubungan perkara tesebut, kerajaan negeri katanya, akan mengambil beberapa tindakan tegas termasuk tindakan penguatkuasaan yang diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

“Kita akan mempergiatkan aktiviti ‘Visit, Advice, and Pay’(VAP), kepada pemilik tanah yang mempunyai tunggakan yang tinggi iaitu pihak jabatan akan berunding untuk persetujuan bersama bagi kutipan secara ansuran tanpa melewati satu tahun,” katanya.

Jelasnya lagi, pendekatan kemas kini data pemilik juga akan terus dijalankan bagi mengesan pemilik tanah yang mempunyai tunggakan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara, pengeluaran notis 6A (Tuntutan Tunggakan) dan disusuli Notis 8A (Rampasan Tanah) kepada pemilik degil serta pembukaan kaunter kutipan luar di beberapa lokasi strategik terpilih.

“Berdasarkan kajian yang dibuat, kebanyakan kes tunggakan dikesan di kawasan bandar terutama bagi mereka yang memiliki rumah dalam skim perumahan dan premis perniagaan,” tambahnya lagi.

Ujarnya lagi, berdasarkan data pada tahun 2014 sahaja, 72 peratus daripada penyumbang kepada cukai tanah keseluruhan adalah pemilik bangunan kediaman dan perniagaan manakala pemilik tanah industri menyumbang 16 peratus manakala tanah pertanian pula sebanyak 12 peratus.

Jumlah pemilik yang terlibat dengan tunggakan tersebut bagi tahun 2014 ialah seramai 220,720 hak milik dengan tunggakan sebanyak RM75.22 juta, katanya.

“Tahun ini, kerajaan negeri mempertimbangkan tindakan menyenaraikan pemilik tanah yang mempunyai tunggakan tegar dengan Agensi Rujukan Kredit (CCRIS) seperti yang telah dilakukan oleh agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Katanya lagi, tindakan tegas ini diambil selepas ruang dan kesempatan yang diberikan kepada pemilik tanah tidak dihargai.

“Pemilik tanah juga harus memainkan peranan dengan menjelaskan cukai tanah masing-masing dan memberikan komitmen untuk memastikan pembangunan negeri tidak terjejas berikutan pengurangan kutipan hasil,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");