Membawang Hari Ini

Kutipan Istana Budaya RM11 Juta Sepanjang 2014

KUALA LUMPUR: Konsert trio ‘Suara Kita’ yang menggandingkan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain muncul sebagai persembahan paling berjaya di Istana Budaya pada tahun 2014.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, Suara Kita berjaya mencapai kutipan tiket RM1.2 juta untuk lapan persembahan yang diadakan pada Mac tahun lalu.

“Banyak persembahan yang berjaya pada tahun lalu dan Istana Budaya secara dasarnya mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Formula yang menggandingkan Awie, Erra dan Ziana nampaknya memberikan hasil positif dan ia muncul sebagai persembahan paling berjaya tahun lalu,” katanya kepada mStar Online.

Mohamed Juhari ditemui pada majlis pelancaran program-program 2015 agensi itu yang diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya pada Khamis. Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Mohamed Juhari berkata, Konsert Search Live In Istana Budaya yang diadakan pada Disember lalu turut melakar sejarah apabila berjaya mendapat kutipan memberangsangkan iaitu RM1 juta.

Jelasnya lagi, teater muzikal SuperMokh Restaging pula adalah antara produksi paling banyak mendapat tajaan iaitu sebanyak 16 penaja sejak 14 tahun Istana Budaya beroperasi.

Secara keseluruhannya kata Mohamed Juhari, Istana Budaya berjaya mengumpul kutipan tiket hampir RM11 juta dengan kehadiran 205,428 penonton menerusi 31 produksi.

“Berbanding tahun 2013, Istana Budaya hanya mengumpul RM9.3 juta secara keseluruhan dengan kehadiran 125,465 penonton dan 2014 memperlihatkan peningkatan sebanyak 20 peratus,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, pada tahun ini Istana Budaya menyasarkan 50 peratus persembahan yang bakal dipentaskan adalah daripada produksi tempatan manakala selebihnya bertaraf antarabangsa.

“Setakat ini pihak kami sudah mempunyai 27 persembahan yang telah disusun dan menjangkakan akan ada penambahan daripada semasa ke semasa.

“Istana Budaya akan memberi peluang sama rata dengan produksi antarabangsa dalam memartabatkan industri seni tanah air selain memberi peluang kepada produksi baharu yang berpotensi,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Nazri dalam ucapannya berkata, adalah amat penting memberi peluang kepada produksi tempatan ruang di Istana Budaya kerana ia dapat membuka peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan taraf hidup selain memartabatkan industri seni itu sendiri.

Katanya lagi, sektor swasta juga perlu memberi perhatian terhadap produksi tempatan dan menjalinkan kerjasama agar pembangunan aktiviti seni dan budaya terus berkembang.

“Jika persembahan atau hasil yang dipaparkan di tahap yang baik sudah tentu permintaan terhadap aktiviti seni akan terus meningkat.

“Menerusi pelbagai kerjasama juga ia mampu membuahkan hasil lumayan sekaligus meningkatkan taraf hidup selain membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Berikut adalah senarai acara sepanjang 2015 di Istana Budaya.

1. Tahajjud Cinta – Sirah Rasulullah (3-7 Januari)

2. Guan Yin Pusa A Musical (16-25 Januari)

3. OTM Bersama Bintang (30-31 Januari)

4. Teater Diari Wanita (11-16 Februari)

5. 9th ATN Awards (23 Februari)

6. The Royal Gala Mek Mulong (28 Februari-1 Mac)

7. Konsert Malam Aku, Dia dan Lagu (6-7 Mac)

8. Konsert Nusantara (13-14 Mac)

9. Puteri Gunung Ledang Reunion Concert (20-24 Mac)

10. Teater Kena Main (27 Mac-5 April)

11. Rejang The Musical (14 April-2 Mei)

12. Dramatari Matah Ati (7-10 Mei)

13. Taiji Atlas World Tour In Malaysia (29-30 Mei)

14. Konsert A. Rahman Hassan (5-7 Jun)

15. Muzikal Bongkar (12-16 Jun)

16. La Bayaadere Ballet (25-26 Julai)

17. Sound of Wisdom Imee Ooi Concert (30 Julai-2 Ogos)

18. Teater Laksamana Cheng Ho (10-16 Ogos)

19. Y Sebuah Muzikal (22-30 Ogos)

20. Saturday Night Fever The Musical (5-15 September)

21. Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (26 September-3 Oktober)

22. Asean Musical Extravaganza (6-7 Oktober)

23. Muzikal Seniman Jalanan (10-14 Oktober)

24. Spirit of the Lotus (22 Oktober-8 November)

25. Muzikal Siti (14-22 November)

26. Teater Laila Majnun (29 November-7 Disember)

27. Muzikal The Rock Oo! (28 Disember-3 Januari 2016)

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");