Laporan Eksklusif

Laporan punca MH17 terhempas diumum pertengahan tahun ini

DAVOS (Switzerland): Laporan penuh jawatankuasa siasatan bebas serangan terhadap pesawat MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, dijangka diperoleh pertengahan tahun ini.

Ia dimaklumkan oleh Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte kepada Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan dua hala pemimpin itu sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) semalam.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan oleh rakan sejawatnya, rumusan dan dapatan daripada siasatan akan dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Dalam kejadian pada 17 Julai tahun lalu, pesawat malang itu dikatakan ditembak jatuh oleh jet pejuang tentera Ukraine, di Donetsk, timur negara itu ketika penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Selain 43 warga Malaysia termasuk penumpang dan kru, 154 adalah warga Belanda, 27 Australia, 12 Indonesia, sembilan United Kingdom, masing-masing empat Jerman dan Belgium, tiga Filipina dan seorang Kanada.

Najib juga berkata, dalam pertemuan berkenaan, Rutte mengakui hubungan dua hala Malaysia-Belanda makin rapat berikutan tragedi itu.

Rutte juga mahu menjalin kerjasama dalam perdagangan sawit dan kayu kayan untuk dieksport ke negara berkenaan.

Mengenai pertemuan dengan Ketua Menteri Andhra Pradesh, Chandra Babu Naidu, beliau berkata negara itu mahu membuka peluang syarikat swasta dan GLC melaksanakan projek membangunkan ibu kota baharu negara itu.

Antaranya projek lebuh raya, perumahan dan infrastruktur lain. Ketika ini syarikat infrastuktur Malaysia, IJM Corporation aktif membina projek perumahan.

Najib juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu yang antara lain berbincang mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kedua-dua negara yang telah ditandatangani.

Pelaksanaannya akan berkuatkuasa selepas mendapat pengesahan Parlimen negara itu.

Mereka juga berbincang mengenai pengukuhan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, teknologi dan kelengkapan ketenteraan.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");