Berita Hari Ini

Lihat adat, agama sebelum laksana hukuman merotan

SHAH ALAM – Walaupun terikat dengan konvensyen antarabangsa, Malaysia perlu menggubal undang-undang negara mengikut acuan sosiobudaya, adat dan amalan agama masyarakat di negara ini, terutama masyarakat majoriti beragama Islam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, merotan atau memukul bagi tujuan mendidik dan mendisiplinkan anak diharuskan dalam Islam, iaitu semasa anak mula berumur 10 tahun.

“Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ajar anak kamu solat ketika umurnya tujuh tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun (Riwayat Abu Daud).

“Agama Islam telah memberikan panduan dan tunjuk ajar cara memukul anak untuk tujuan mendidik,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Sabtu lalu, untuk menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah dalam rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan.

Rohani berkata, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian antarabangsa Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagaimanapun pada malam kelmarin, mengeluarkan penjelasan lanjut bahawa hukuman terhadap kesalahan rotan itu tidak melibatkan ibu bapa dan guru di sekolah.

Menurut Musa, jika undang-undang itu digubal, ia dikhuatiri akan dimanipulasi oleh pihak yang mahu merampas anak daripada jagaan ibu atau bapa.

“Hanya disebabkan pukulan rotan yang ringan untuk tujuan mendidik, pihak yang ingin mengambil anak akan membuat laporan polis, kemudian ibu atau bapa yang menjaga anak akan ditahan. Akhirnya akan menyebabkan perpisahan antara anak-anak dengan ibu atau bapa.

“Seperti yang berlaku di Sweden, ibu atau bapa yang ditahan akan dipisahkan dengan anak-anak berkenaan sehingga berusia 18 tahun, dan anak-anak akan diperintah mahkamah untuk diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat yang berkemungkinan berbeza agama,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan tidak terpengaruh dengan agenda Barat untuk melahirkan institusi keluarga yang lemah, kucar-kacir akibat undang-undang yang hanya berasaskan kepada akal semata-mata, termasuk peraturan larangan merotan anak.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");