Jenayah

MH370: Pernikahan ‘Madu Ghaib’ Sah, Ikut Syarak – Mahkamah

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa mengesahkan pernikahan madu ghaib, Azrai Izet Mohamad, 39, dan isteri keduanya, Suzieliana Zainuddin, 37, di Songkhla, Thailand pada tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd Zahrullail di Dewan 3 di sini selepas mendapati ia adalah mengikut hukum syarak.

Pendaftar tersebut dalam keputusannya menyatakan, mahkamah berpuas hati rukun nikah adalah sempurna sekali gus membenarkan permohonan Azrai Izet dan Suzieliana untuk mengesahkan pernikahan itu.

Pasangan tersebut hadir ditemani Peguam Syarie, Wan Amir Akram Zainal Abdin.

Ketika diminta mengulas mengenai keputusan itu, Azrai Izet bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.

“No komenlah”, katanya ringkas.

Azrai Izet merupakan suami kepada Nor Fadzillah Mat Rahim, 39, salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, yang hilang pada 8 Mac lalu sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Beijing.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama.

Walaupun operasi mencari pesawat tersebut giat dilakukan di selatan Lautan Hindi, tiada sebarang bukti ditemui sehingga hari ini.

Terdahulu, Azrai Izet memfailkan permohonan daftar nikah di mahkamah tersebut pada awal November tahun lalu selepas menikahi Suzieliana sebagai isteri keduanya di negara jiran pada tahun yang sama.

Bapa kepada empat anak itu menghadapi kesukaran untuk mendaftar nikah kali kedua kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran isteri seperti yang dituntut walaupun isterinya merupakan penumpang pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi.

Sebutan kes tersebut yang sepatutnya didengar pada 4 Disember lalu ditangguhkan ke hari ini (Selasa) selepas Atrasina menerima permohonan plantif agar kes ditangguhkan bagi urusan penyediaan dokumen.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");