Sukan Hari Ini

Pemain beri fokus 100 peratus temu Poland – Muhammad Razie

SINGAPURA: Kemenangan besar Malaysia di pentas final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) 2015, malam tadi menundukkan Poland 8-0 diakui kapten pasukan, Muhammad Razie Abdul Rahim disebabkan pemain negara tampil lebih fokus.

Malah, Razie yang juga pakar pukulan sudut penalti skuad hoki kebangsaan tidak menyangka pasukan negara mampu membenam Poland dengan jaringan besar kerana pasukan di ranking ke-18 dunia itu menampilkan prestasi baik sepanjang kejohanan terbabit.

“Mungkin disebabkan kita memberi fokus 100 peratus selepas mencatat kemenangan tipis ke atas Jepun semalam (kelmarin)… pada perlawanan hari ini, kita bermain lebih berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih negara, Tai Beng Hai berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang menampilkan corak permainan berbeza berbanding ketika berdepan Jepun pada separuh akhir.

“Kita melakukan pembaharuan dalam teknik permainan hari ini. Mereka bermain dengan begitu bagus dan memberi komitmen yang tinggi,” katanya.

Kejayaan muncul juara Pusingan Kedua WHL 2015 menyaksikan Malaysia menempah tiket Separuh Akhir yang dijadualkan pada Jun ini.

Muhammad Razie seharusnya diangkat sebagai wira pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Sengkang, di sini apabila menjaringkan hatrik.

Malaysia tidak menunggu lama untuk berada di hadapan menerusi jaringan Faizal Saari pada minit ketiga sebelum Muhammad Razie menggandakan jaringan, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti selang empat minit kemudian.

Muhammad Razie terus bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Faizal Saari melebarkan jaringan pada minit ke-33.

Sorakan penyokong negara yang membanjiri stadium ternyata menaikkan semangat pemain Malaysia untuk menambahkan jaringan pada minit ke-42 menerusi Nabil Fiqri Mohd Noor dan Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil pada minit ke-48.

Pemain muda, Muhammad Haziq Samsul turut melakar nama dalam senarai penjaring apabila menyumbat masuk gol ketujuh Malaysia pada minit ke-54.

Muhammad Razie melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia dengan menjaringkan gol ketiga peribadi yang juga gol kelapan pasukan negara, enam minit kemudian.

Biarpun tewas, Poland turut mengiringi Malaysia ke saingan Separuh Akhir WHL 2015 bersama-sama Jepun yang menduduki tempat ketiga selepas menumpaskan Oman 4-0.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) belum menetapkan venue saingan Separuh Akhir WHL 2015 sama ada di Belgium atau Argentina.

Faizal Saari yang menjaringkan keseluruhan 12 gol menerima anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik kejohanan berkenaan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");