Isu Panas

Pilihan Raya PBT Tidak Akan Bawa Kepada ‘Peristiwa 13 Mei’ – MP Serdang

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming menafikan dakwaan bahawa pilihan raya majlis tempatan boleh membawa kepada satu lagi peristiwa 13 Mei, sebaliknya berkata ia akan meningkatkan tahap akauntabiliti dan ketelusan dalam majlis-majlis tempatan.

Kian Ming menafikan dakwaan bahawa DAP akan mendominasi persaingan memandangkan banyak komposisi etnik dalam majlis-majlis bandaraya telah berubah dengan ketara sejak peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 kerana penghijrahan besar orang Melayu dari luar bandar ke kawasan bandar.

Ahli parlimen DAP itu menegaskan bahawa menurut data bancian 2010, penduduk Melayu di Kuala Lumpur (45.9 peratus) lebih ramai daripada Cina (43.2 peratus).

“Malah, daripada tiga dewan bandaraya, sembilan majlis bandaraya dan 37 majlis perbandaran di Malaysia, hanya enam yang mempunyai populasi di mana orang Cina melebihi bilangan orang Melayu iaitu di Ipoh, selatan Kuching, Johor Bahru, Pulau Pinang, Sibu dan Subang Jaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lalu memberi amaran bahawa pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP boleh melebarkan jurang antara kaum dan mendorong kepada insiden seperti 13 Mei.

Menurut Kian MIng, banyak ahli majlis tempatan di Malaysia begitu asing bagi penduduk tempatan kerana mereka dilantik oleh kerajaan negeri dan tidak dipilih.

Beliau menegaskan, dalam pelantikan semasa, ahli majlis tempatan terhutang budi kepada pihak-pihak yang melantik mereka dan bukannya kepada penduduk yang sepatutnya mereka berikan perkhidmatan.

“Walaupun ahli majlis yang tidak menunjukkan prestasi baik mungkin tidak menerima cadangan daripada Ahli Parlimen atau Adun untuk meneruskan tempoh perkhidmatan sebagai ahli majlis, persoalan mengenai akauntabiliti masih kekal.

“Seorang ahli majlis yang mempunyai prestasi buruk boleh kekal dalam kedudukannya selagi dia ‘dilindungi’ oleh parti. Di kawasan-kawasan di mana wakil rakyatnya adalah dari parti yang berbeza daripada ahli majlis itu, laporan dan kebertanggungjawaban menjadi semakin kurang jelas, “katanya.

Oleh itu, beliau berkata pilihan raya tempatan akan meningkatkan akauntabiliti untuk penduduk yang mengundi mereka.

Kian Ming juga berkata pilihan raya majlis tempatan akam memberi cerminan lebih baik terhadap perwakilan politik tempatan untuk parti yang mempunyai jurang politik.

Beliau menegaskan, sesiapa yang mengawal kerajaan negeri, mengawal pelantikan semua ahli majlis tanpa mengira sokongan parti politik di peringkat tempatan.

Beliau memberi contoh Pakatan Rakyat, yang memenangi semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (PAS menang tiga) dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, tetapi mereka tidak mempunyai wakil di majlis bandaraya Kuala Terengganu.

Begitu juga Umno yang menang tujuh daripada 21 kerusi DUN di Seberang Prai tetapi mereka tiada wakil di Majlis Perbandaran Seberang Perai manakala Pakatan Rakyat yang menang sembilan daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, tetapi tidak mempunyai wakil dalam majlis bandar.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");