Berita Hari Ini

Rakyat digalak beli barangan buatan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan lebih agresif dalam melaksanakan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan meningkatkan eksport produk berjenama tempatan ke luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, KPDNKK akan memanggil pengusaha barangan berjenama Malaysia untuk bermesyuarat mencari jalan bagi tujuan itu, pada minggu hadapan.

“Program beli barangan buatan Malaysia ini akan dipertingkatkan lagi untuk galakkan rakyat membeli produk tempatan. Bila sebut sahaja apa (nama) barangnya, Malaysia sudah ada barang tersebut.

“Kita sedang berusaha membawa barangan berjenama Malaysia untuk dieksport ke luar negara. (Usaha) ini kita sudah buat secara kecil-kecilan dulu menerusi pilihan rakyat Malaysia,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Keusahawanan Bumiputera CoolBlog di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta rakyat membeli barangan buatan Malaysia ketika kebanyakan negara di dunia sedang mengalami kesan daripada kejatuhan harga minyak dan nilai mata wang.

Mengulas mengenai permintaan pengusaha stesen minyak supaya harga bahan api itu dimaklumkan awal, Hasan berkata, ia hanya akan diumumkan malam 31 Januari.

“Kita kena ikut keputusan Kabinet, jadi pada 1 Februari ini, jam 12.01 pagi, harga baharu akan dikuatkuasakan. Kita akan teruskan pendekatan seperti mana yang kita buat sebelum ini.

“Berkenaan viral di aplikasi WhatsApp yang mendakwa harga minyak akan turun bulan depan, itu hak mereka untuk buat spekulasi atau andaian, saya tidak boleh hendak tahan mereka. Tunggu sehingga harga baru diumumkan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, dakwaan menyatakan kerajaan menaikkan cukai diesel sebanyak 30 sen menyebabkan industri terlibat tidak mampu menurunkan harga barangan adalah tidak benar.

“Kita sentiasa berhubung dengan pihak pengeluar, pengilang, peruncit dan sebagainya bagi membolehkan kita mendapat kesefahaman antara kedua-dua pihak iaitu peniaga serta pengguna.

“Saya pula dengan kuasa yang ada menerusi akta-akta di bawah kementerian ini akan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan. Mana-mana peniaga yang masih berdegil mengikut selera hati mereka akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");