Membawang Hari Ini

Tanya Burr ratu kecantikan

PADA asalnya, Tanya Burr merakam video kecantikan dan beberapa video cara-cara untuk bersolek kerana berada dalam sesi pembelajaran bersama Sam dan Nic Chapman dari Pixiwoo (saluran solekan terkenal).

Kemudian atas dorongan Sam dan Nic yang turut aktif menerusi saluran mereka di YouTube, Tanya membuka satu saluran sendiri iaitu Tanya Burr dan berkongsi video-video yang dirakamkan sebelum ini.

Sejak itu, Tanya tidak lagi menoleh ke belakang, sementelah lagi video yang dimuat naiknya mula mendapat maklum balas positif dari orang ramai.

“Perkara paling menyeronokkan apabila saya berada di luar, beberapa orang menegur saya dan memberitahu saya mereka mengikuti saluran saya.

“Secara tidak langsung juga, saya mendapat banyak kawan di seluruh dunia,” jelas Tanya.

Begitulah antara kisah permulaan gadis berusia 25 tahun ini sebagai vlogger kecantikan terkenal.

Bukan hanya dikenali sebagai vlogger, Tanya yang berasal dari Norwich, United Kingdom ini merupakan seorang juru mekap terkenal.

Lebih membanggakan, Tanya kini memiliki jenama kosmetiknya sendiri iaitu Tanya Burr Cosmetics yang baru sahaja dilancarkan pada tahun 2014.

Sejak membuka saluran sendiri pada tahun 2009, Tanya sudah memiliki lebih 2.7 juta pengikut dan video-video yang dimuat naiknya sudah ditonton lebih 187 juta kali!

Tidak hanya dikenali di YouTube semata-mata, kehadiran Tanya yang lebih dikenali dengan jolokan ratu kecantikan ini turut mendapat tempat di luar.

Buktinya Tanya pernah dijemput sebagai salah seorang juri Elle Beauty Awards dan turut mempunyai kolum khas sebagai penulis bagi majalah Grazia.

“Saya hanya menjadi diri saya sendiri, saya sukakan kecantikan dan saya suka berkongsi mengenai kecantikan dengan orang lain,” katanya.

Vlogger serba boleh

Tidak hanya pakar dalam bidang kecantikan, Tanya juga adalah antara vlogger serba boleh yang turut memuat naik video pelbagai di saluran YouTubenya.

Ia meliputi fesyen, masakan dan membuat kek, rambut, vlog dan banyak lagi.

Bahkan Tanya juga sering bekerjasama dengan beberapa vlogger dan bintang YouTube lain seperti Zoe Sugg, Louise Pentland, Alfie Deyes, Tyler Oakley, Joe Sugg, dan ramai lagi.

Terbaru, Tanya kini sudah melancarkan buku pertamanya, Love, Tanya.

Menurut Tanya isi kandung buku ini amat dekat dengan jiwanya kerana ia memberi inspirasi bagaimana pengembaraan dia bermula sehingga apa yang dimilikinya kini.

“Saya menulis untuk berkongsi dengan lebih dekat mengenai tip berfesyen, solekan, cinta, persahabatan, YouTube dan banyak lagi.

“Malah saya juga turut sediakan satu ruang di mana anda boleh menulis harapan dan impian anda, sama seperti yang saya pernah lakukan. Harapan saya ia akan menjadi kenyataan dan anda terhibur dengan isi kandungan buku ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");