Panasnya Hari Ini

Undang Campurtangan Luar Tindakan Khianat Terhadap Negara

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dilihat seolah-olah sengaja mencabar kedaulatan negara ini apabila menjemput 20 diplomat asing untuk mendengar taklimat berkaitan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula di Sarawak.

Tindakan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada kuasa asing untuk mencampuri urusan SPR yang selama ini berjaya menguruskan pilihan raya secara adil dan telus.

Buktinya, negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor dikuasai parti pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu kerana suara majoriti pengundi tidak berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Kini, Bersih 2.0 mengatur strategi untuk menjatuhkan imej kerajaan dan SPR berhubung cadangan persempadanan semula di Sarawak yang bakal berhadapan pilihan raya negeri ke-11.

Diplomat dari negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Rusia, Britain, Australia dan Singapura menghadiri sesi dua jam itu yang berlangsung di Kuala Lumpur bagi mendedahkan kepincangan proses tersebut.

Pihak tersebut antara lain mendakwa notis yang dikemukakan SPR tidak lengkap dan menyukarkan pengundi di Sarawak untuk mengemukakan bantahan.

SPR juga didakwa tidak tidak memberi penjelasan kewajaran penambahan 11 DUN baru di negeri itu yang turut menyaksikan persempadanan yang tidak sekata.

Pegawai Sumber Maklumat Bersih 2.0, Rama Ramanathan dipetik laporan The Malaysian Insider, berkata cadangan persempadanan semula Sarawak kali ini mengejutkan kerana hanya 52 daripada 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditunjukkan dengan jelas di atas peta.

Awal bulan ini, SPR mempamerkan syor jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sarawak yang ditambah 11 bahagian menjadikan kepada 82 bahagian keseluruhan.

11 bahagian pilihan raya negeri yang baru disyorkan itu ialah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Triboh, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Telian, N63 Selirik, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Long Lama.

Selain kerusi baru, SPR turut mencadangkan perubahan nama 1 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN.

Pertambahan 11 kerusi baru itu susulan usul yang diluluskan DUN Sarawak pada November lalu bagi membolehkan ia dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Pembangkang memberi alasan persempadanan semula itu bakal memberi kelebihan Barisan Nasional (BN) pada PRN Sarawak ke-11 sedangkan ia masih lagi di peringkat cadangan yakni belum dimuktamadkan lagi.

Cadangan itu terbuka untuk bantahan bersyarat sehingga awal Februari nanti seperti yang dimaklumkan SPR.

Bersih 2.0 sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan jawapan terhadap kesemua dakwaan mereka, bukannya mengundang wakil negara asing untuk mendedahkan kepincangan proses itu dan kelemahan SPR secara terbuka.

Selain mengundang campurtangan kuasa asing, tindakan Bersih 2.0 itu juga satu pengkhianatan terhadap negara Malaysia yang berdaulat.

– Rashid Sulaiman

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan sama sekali tidak mewakili pendirian PerakToday.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");