Isu Panas

Adenan berupaya selesai isu dalaman BN Sarawak – PM

SRI AMAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan sepenuhnya kepercayaan kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dalam menyelesaikan isu dalaman Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Isu dalaman itu merujuk kepada isu penerimaan dua parti baharu – Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan Parti Bersatu Sarawak (UPP) sebagai anggota BN.

Katanya, sebagai ‘orang lama’ dalam kancah politik negeri ini, Adenan diyakini berupaya mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu dalaman berkenaan atas kapasitinya sebagai Pengerusi BN Sarawak.

“Kepemimpinan BN Pusat yakin dengan keupayaan BN Sarawak untuk menyelesaikan segala isu dalaman dan masalah yang berlaku. Kita yakin mereka mempunyai formula untuk memperkukuhkan kedudukan semua parti komponen di sini.

“Ini sejajar dengan penumpuan kita untuk memastikan kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas Hospital Sri Aman bernilai kira-kira RM150 juta, di sini yang dilengkapi 108 katil, selain menyediakan pelbagai khidmat pakar minor selepas siap sepenuhnya menjelang 2018.

Ia juga sebahagian daripada usaha penambahbaikan kemudahan kesihatan bagi penduduk setempat, khususnya masyarakat luar bandar di bahagian ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN Pusat menyifatkan surat tuntutan beliau agar HarakahDaily menarik balik artikel berbau fitnah terhadapnya dalam tempoh 48 jam kelmarin sebagai tindakan wajar.

“Ia (artikel) tidak benar dan lebih berunsur fitnah. Mereka (HarakahDaily) tiada bukti dan saya berhak untuk mempertahankan nama saya, begitu juga keluarga saya.

“Peguam saya masih menunggu maklum balas berhubung perkara itu sebelum merangka tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, portal berita berkenaan menyiarkan artikel berbau fitnah yang mengaitkan pembabitan Najib dalam penyalahgunaan dana 1MDB bagi menampung kos penerbitan sebuah filem antarabangsa.

Terdahulu, Najib dalam ucapan perasmiannya menyatakan komitmennya untuk terus meningkatkan taraf hidup, khususnya masyarakat luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas yang lebih sempurna, termasuk membabitkan aspek kesihatan.

“Lebih banyak hospital dan klinik akan kita bina, terutama di kawasan luar bandar bagi menampung keperluan rakyat. Biarpun usaha ini membabitkan perbelanjaan tinggi, namun kadar bayaran dikenakan kepada rakyat yang mendapat pemeriksaan kesihatan dan rawatan adalah yang terendah di dunia.

“Tiada sistem kesihatan di mana-mana negara di dunia mampu menyediakan kemudahan sebegini kepada rakyatnya. Di Malaysia, kita melaksanakannya atas dasar sentiasa mendahulukan keperluan rakyat,” katanya.

Najib ketika mengulas lanjut berkata subsidi kesihatan di negara ini mencecah 98 peratus, dengan sebahagian besar kos atau perbelanjaan perubatan ditanggung oleh kerajaan.

“Merujuk Indeks Global 2014 – International Living, Malaysia antara tiga negara terbaik di dunia dalam konteks sistem pengurusan kesihatan untuk rakyatnya, terutama dari segi penyediaan khidmat, kemudahan dan kos berkaitan.

“Di sebalik pengiktirafan itu, kerajaan sedar masih ada banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki… masih ada banyak kawasan, khususnya di luar bandar yang memerlukan hospital dan klinik. Inilah cabaran kita dalam usaha menyediakan suasana kehidupan lebih baik untuk segenap lapisan rakyat,” katanya.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");