Sukan Hari Ini

Apa helah Tok Gajah?

Johor Bahru: Pindaan perlawanan pusingan kedua Piala FA membabitkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang di Stadium Darul Makmur ke Isnin ini atas permintaan skuad Tok Gajah disebabkan pasukan itu hanya tiba dari Mandalay, Myanmar, malam ini.

Namun alasan itu tidak berasas sebaliknya Pahang sudah tiba malam tadi (semalam) dan bukan seperti dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hingga badan induk itu terpaksa mengubah jadual perlawanan dari Ahad ke Isnin atas faktor tiada penerbangan dari Myanmar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Malah Bendahari Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Abd Latif Bandi kurang senang dengan helah skuad Tok Gajah itu dan meminta FAM tidak berdiam diri dan ingin tahu apa tindakan susulan badan induk terhadap Pahang yang seolah-olah tidak memberi maklumat tepat.

Abd Latif menegaskan, Pahang meminta perlawanan membabitkan Johor DT dan pasukan itu pada aksi Piala FA diubah ke Isnin ini atas alasan mereka tiba ke KLIA2 pada 27 Februari ini (malam ini) selepas beraksi menentang kelab Yandanarbon pada aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Mandalar Thiri, Mandalay, kelmarin.

Malah beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah memaklumkan kepada PBNJ betapa Pahang mahu menunda perlawanan Piala FA ke Isnin berikutan tiada penerbangan pulang ke Malaysia dan terpaksa menunggu hingga malam ini untuk berangkat pulang.

“Datuk Afandi memaklumkan kepada PBNJ mengenai skuad Pahang mahu perlawanan Piala FA ditunda.

“PBNJ menerima keputusan penundaan itu namun sekarang lain pula cerita selepas kami mendapat kesahihan pasukan Pahang tiba malam tadi dan bukan malam ini dan apa yang saya persoalkan apakah tindakan FAM terhadap pasukan itu yang seolah-olah mengambil kesempatan sengaja mengubah jadual perlawanan.

“Difahamkan ketibaan pegawai dan pemain Pahang tiba di KLIA2 menerusi penerbangan Bangkok, Thailand ke KLIA2 malam tadi. FAM perlu lihat apa yang dilakukan Pahang seolah-olah tidak menghormati badan induk itu,” katanya.

Abd Latif juga menegaskan Johor DT memohon perlawanan menentang Selangor diawalkan pada Jumaat lalu kerana terbabit pada perlawanan Piala AFC namun ditolak FAM.

Katanya, tanpa membantah dengan keputusan badan induk itu, Johor DT meneruskan juga perlawanan Sabtu lalu dan pemain tidak mendapat rehat secukupnya dan hanya menjalani latihan sehari sahaja untuk berdepan East Bengal, baru-baru ini.

“PBNJ bukan mahu mencari salah mana-mana pihak, tetapi kami harap FAM bersikap lebih telus dan adil kepada semua pasukan negeri dan kelab dan tidak berat sebelah,” kata Abd Latif.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");