Perak Hari Ini

Bangunan Bekas Hotel Perlu Dibangunkan Semula

IPOH: Pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai kewujudan bangunan berwarna putih di Stesen Keretapi Ipoh di sini yang kelihatan terbiar begitu sahaja.

Dahulunya, bangunan itu merupakan The Majestic Station Hotel, yang telah ditutup sejak 11 Mac 2011, iaitu selepas 76 tahun beroperasi.

Hotel berkenaan telah dibuka pada tahun 1935 dan difahamkan, premis hotel diserahkan semula kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selepas pajakan tamat.

PERAK TODAY 2

Setelah hampir lima tahun tidak beroperasi, bangunan itu kelihatan semakin tidak terurus dan terbiar begitu sahaja.

Bagi merungkai masalah tersebut, Peraktoday.com.my mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi mengenai kedudukan bangunan bekas hotel itu.

Menurutnya, ada cadangan di pihak kerajaan negeri untuk membangunkan semula hotel berkenaan secara swasta.

Namun, proses tersebut masih di bawah bidang kuasa pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu (KTMB), katanya.

“Kerajaan negeri telah mengetengahkan cadangan tersebut kepada pihak KTMB untuk pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Tambahnya lagi, ini kerana bangunan KTMB dan kawasan sekitarnya mempunyai nilai dari aspek pelancongan dan semakin dikunjungi ramai sejak akhir-akhir ini.

PERAK TODAY 3

“Potensi untuk membangunkan hotel butik adalah amat besar dan Kementerian Pelancongan juga ada mempelawa agensi besar seperti YTL Corporation Berhad untuk menjayakan projek ini tetapi ia masih tertakluk kepada kebenaran yang akan diberikan kelak,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri turut berminat bagi membangunkan bangunan tersebut sebagai restoran atau projek yang bersesuaian.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui menyifatkan tindakan membiarkan bangunan tersebut terbiar begitu sahaja adalah sesuatu cukup merugikan.

Menurut N.Veerasamy, suatu masa dahulu, Majestic Hotel cukup terkenal, menjadi bahan perbualan serta dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

PERAK TODAY 1

“Saya dengar Syarikat YTL berminat membaikpulih hotel ini tetapi sehingga sekarang, tiada apa-apa pembaharuan dilakukan,” katanya.

Jelasnya lagi, lokasi dan tapak bekas hotel ini cukup sesuai untuk pembangunan hotel bagi penginapan pelancong.

Sementara itu, Abdul Wahid Mat Arof pula berkata, bangunan bekas hotel tersebut tidak diselenggara selepas ia ditutup.

PERAK TODAY 5

“Dulu macam-macam perniagaan dijalankan di sini tetapi kini tiada sebarang pembangunan dijalankan,” katanya.

Tambahnya lagi, KTM perlu menggunakan kesempatan dan peluang untuk membangunkan semula hotel tersebut bagi menambah sumber kewangannya.

Pihak Peraktoday.com.my masih menunggu kenyataan rasmi daripada pihak RAC berkenaan status bangunan bekas hotel yang bersejarah ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");