Membawang Hari Ini

Caliph Buskers idam studio rakaman untuk buskers

SEBUAH kumpulan penyanyi jalanan atau buskers yang menggelar diri mereka Caliph Buskers berjaya mencipta fenomena selepas kemunculan mereka di pentas Anugerah Juara Lagu ke-29 bersama kumpulan Mojo sehingga memenangi Anugerah Persembahan Terbaik pada malam itu.

Setelah didekati kru Sinar Online baru-baru ini, nyata kumpulan ini selain mempunyai cita rasa humor yang tinggi, mereka memasang impian untuk membantu sesama rakan buskers yang ada di negara ini.

Ikuti temu bual SINAR ONLINE bersama anggota Caliph Buskers, AZMI ZAKI, NIRWAN dan SYAHZMEN yang berjaya diselit dalam kesibukan mereka sebelum membuat persembahan di Shah Alam, baru-baru ini.

Temu bual ini dijalankan sebelum Caliph Buskers membuat keputusan untuk akhirnya menandatangani kontrak selama setahun di bawah KRU Music.

SINAR ONLINE : Sejak bila Caliph Buskers mula bertapak?

Azmi : Kumpulan ini sebenarnya sudah hampir setahun. Kita dibentuk pada awal Februari 2014. Kami bermain muzik lebih kepada minat dan pada awalnya kita buat ini hanya suka-suka sebab tengok aktiviti ‘basking’ sudah mula popular di negara ini.

Jadi, kami pun teringin untuk bermain muzik dan dilihat orang. Kami fikir ‘basking’ adalah cara paling sesuai untuk tunjukkan kepada orang. Dalam cuba-cuba itu, nampak sambutan menggalakkan jadi, kami terus mohon lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan serius.

SINAR ONLINE : Perubahan kehidupan ahli Caliph Buskers selepas dikenali?

NIRWAN : Bagi saya biasa saja, cuma, buat masa sekarang, jadual lebih padat. Jadi, ia agak memenatkan sedikit.

SINAR ONLINE : Bagaimana dengan perancangan basking di Sogo untuk masa ini?

AZMI : Buat masa ini, kami tidak dapat basking di Sogo lagi. Satunya jadual kami memang padat dan di Sogo pula sedang ada pembinaan jadi, tempat yang kami biasa basking itu belum dapat digunakan. Bila kami akan kembali masih tidak dapat dipastikan.

SINAR ONLINE : Azmi boleh menyanyi dan bermain gitar bass dengan sangat baik, bagaimana Azmi melakukannya?

AZMI : Tidaklah sangat baik. Dalam kumpulan ini ramai yang boleh menyanyi sambil main alat muzik, saya rasa dengan latihan yang bersungguh-sungguh, Insya-ALLAH semua boleh buat.

Saya pun tak perasan (boleh buat) memang buat sedikit demi sedikit. Lama-lama boleh buat. Saya betul-betul fokus main bass sejak penubuhan Caliph Buskers.

ZAKI : Pada asalnya, Azmi main ‘keyboard’ tapi dalam basking tak boleh usung ‘keyboard’ jadi, kami tukar sebab saya main bass. Itu yang Azmi main bass, saya main gitar. Ia memudahkan kami bergerak.

SINAR ONLINE : Nirwan mampu bermain gitar utama dengan sangat baik juga, sejak bila anda belajar bermain gitar?

NIRWAN : Memang saya hafal juga dan perlukan latihan yang banyak. Ikut pada keyakinan kita sendiri juga. Saya mula bermain pada usia 9 tahun…belajar sendiri. apabila kita main muzik, kita rasa aura itu…memang ada jiwa itu. Itu yang orang lain nak daripada kita. Kesefahaman itu kena ada juga.

AZMI : Kalau orang celik bagi isyarat guna mata tapi kami tidak. Kami ada cara kami. Masa latihan kami dah tetapkan kalau saya begini, mereka buat begitu. Jadi, pada hari persembahan, kami sudah tahu tanggungjawab masing-masing.

SINAR ONLINE : Mula-mula tubuhkan kumpulan ini memang sudah tahu semua boleh menyanyi atau ini kebetulan?

AZMI : Tidak. Memang sudah tahu semua boleh menyanyi. Kita memang nak mencari yang boleh menyanyi bagi memudahkan kami. Jika persembahan kami lama, boleh gilir-gilir.

ZAKI: Lagipun, di Kuala Lumpur ramai buskers, jadi, kami kena cari kelainan. ‘Tone’ suara kami berbeza-beza. Ada sesetengah lagu yang bernada rendah Azmi kurang sesuai menyanyi lagu tersebut, jadi, kadang-kadang saya atau Fendi bawakan lagu itu. Begitulah seterusnya.

SINAR ONLINE : Bagaimana Caliph Buskers menyediakan mana-mana lagu yang telah dipilih untuk dinyanyikan pada satu-satu persembahan?

AZMI: Biasanya kami suka buat spontan dahulu. Ada ketika kami basking, sewaktu tidak ramai orang, kami akan sengaja buat yang mengarut-mengarut tapi di situlah yang seronoknya. Idea dari situlah yang kami akan cungkil. Mana yang elok kami ambil dan yang tak elok dibuang.

ZAKI : Ada lagu yang kami ubah lebih rancak, supaya ‘mood’ lagu itu lain.

SINAR ONLINE: Lagu paling susah yang Azmi pernah bawa?

AZMI : Lagu paling susah She’s Gone. Lagu itu tinggi sangat. Melampau sangat tingginya.

SINAR ONLINE : Kenapa memilih untuk bersama KRU?

AZMI : Kru yang bawa kita ke mana-mana, jadi, kita tak akan lupakan jasa KRU. Sebelum ini, kami bergerak sendiri, jadi, kami lebih selesa begitu sebenarnya. Jadi, kami tak buat keputusan lagi (Caliph Buskers sudah tandatangan kontrak selama setahun dengan KRU Music awal Februari).

ZAKI : Kami takut tidak dapat memberikan komitmen yang baik.

SINAR ONLINE : Berdasarkan perancangan Caliph Buskers, sejauh mana kumpulan ini mahu pergi?

AZMI : Kalau ikut perancangan, kami mahu memiliki syarikat sendiri dan membuka studio rakaman sendiri.

ZAKI : Studio rakaman untuk rakan-rakan buskers di luar sana.

AZMI : Sebab mereka semua ada bakat tapi tidak ada platform untuk mengetengahkan bakat mereka. jadi, mungkin kami yang sudah dikenali ini boleh tolong sedikit.

SINAR ONLINE : Ucapan akhir Caliph Buskers untuk penonton.

CALIPH BUSKERS: Terima kasih kepada pengundi-pengundi Anugerah Juara Lagu yang membuatkan kami menang Persembahan Terbaik. Paling utama, terima kasih buat pihak Abang Edry KRU, Mojo dan KRU Music kerana memberi kepercayaan kepada kami.

Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang sudi sokong kami dan kami berharap anda akan terus menyokong Caliph Buskers tanpa jemu.
ends.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");