Berita Hari Ini

Hadis Palsu Punca Kumpulan Militan IS Taksub Dengan Jihad

PETALING JAYA: Penggunaan hadis palsu (hadis mawdu) antara punca ahli militan Islam (IS) taksub terhadap perjuangan jihad secara literal tanpa berpandukan metodologi pengajian hadis sebenar.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, tindakan menggunapakai hadis palsu dan menyalahtafsirkan hadis-hadis tertentu boleh menyebabkan pengikut sesuatu kumpulan itu berpegang kepada bentuk akidah baharu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Inilah antara punca yang kita lihat apabila mereka yang menyertai perjuangan IS melihat istilah jihad secara literal tanpa berpandukan metodologi pengajian hadis dan konteks perbahasan yang sebenar.

“Namun, kita tidak dapat menafikan terdapat faktor-faktor lain seperti kejahilan dan ketaksuban yang menjadi faktor utama pembabitan mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata perbezaan pendapat dalam mazhab atau berpegang pada hukum dengan pandangan yang ekstrim boleh menyebabkan amalan atau pegangan fiqh umat Islam menyimpang dari ajaran asalnya.

“Sebenarnya ramai yang tidak menyedari mereka telah merujuk dan menggunapakai hadis palsu dan menyalahtafsirkan hadis-hadis tertentu.

“Sekiranya fenomena pengunaan hadis palsu ini mengatasi hadis sahih, kesan yang lebih besar akan timbul apabila masyarakat tidak dapat mengenalpasti yang mana satu hadis sahih dan hadis palsu sebagai panduan dalam kehidupan, ibadah serta amalan seharian mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Othman berkata, penyebaran hadis palsu yang berleluasa dikhuatiri boleh menyebabkan salah faham di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam.

“Mereka yang tidak mempunyai ilmu dan memahami sejarah sesuatu hadis yang dikeluarkan pastinya akan beranggapan bahawa agama Islam adalah agama yang penuh dengan khayalan dan retorik,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar masyarakat berhati-hati dalam menggunapakai serta menyebarkan hadis, khasnya melalui laman sosial.

“Rujuklah kitab dan ilmuan yang memang pakar dalam bidang hadis bagi mengelakkan kita terus menyimpang jauh. Jakim juga telah mengambil inisiatif menerbitkan risalah kecil yang bertajuk ‘Hadis Mawdu (hadis palsu), Sejarah dan cara-cara mengenalinya’, hasil tulisan Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor.

“Diharapkan dengan penerbitan risalah kecil ini dapat mengubah dan membetulkan keadaan serta membersihkan masyarakat daripada hadis-hadis yang direka secara dusta bagi menyesatkan manusia,” katanya.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata Jakim akan mengeluarkan senarai hadis palsu di laman webnya sebagai rujukan kepada orang ramai bagi menanganiu kegiatan salah guna hadis.

Jamil dipetik sebagai berkata, tindakan itu dibuat secara berperingkat untuk mengekang penggunaan hadis palsu yang disebarkan melalu Internet dan digunakan untuk menyebarkan fahaman ekstremis.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");