Jenayah

Harta awam jadi ‘mangsa’

Kuala Lumpur: Segelintir peserta perhimpunan KitaLawan yang diadakan di sekitar ibu negara dikesan merosakkan harta awam apabila menconteng bas milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perkataan lucah dan kesat ketika berarak menuju ke Jalan Pudu di sini, petang kelmarin.

Protes yang disertai 200 peserta yang sebahagian besarnya golongan muda sebelum itu berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo jam 4.30 petang kelmarin sebelum berarak menuju ke Jalan Tun Perak.

Kumpulan yang berpakaian serba hitam itu mengadakan perhimpunan berkenaan bertujuan membantah keputusan mahkamah yang mengekalkan hukuman penjara kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa bermotifkan konspirasi politik.

Selain menconteng bas, kumpulan berkenaan turut menconteng premis makanan segera serta papan tanda sebuah bank di kawasan berhampiran.

Difahamkan, bas milik PDRM ketika itu tidak dapat bergerak berikutan berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Perak.

Kesempatan itu kemudiannya diambil segelintir peserta perhimpunan terbabit untuk menconteng menggunakan cat berwarna hitam di bahagian sebelah kanan bas berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan berkenaan.

“Pihak kami berusaha mendapatkan imej suspek yang terbabit melakukan kerosakan pada hari berkenaan selain meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu tampil membantu pihak polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");