Jenayah

Ibu maut, anak cedera

Yan: Seorang wanita maut manakala anaknya cedera ringan selepas Perodua Viva yang mereka naiki cuba mengelak sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Sungai Daun Dalam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.40 petang, Maimunah Idris, 63, yang duduk di bahagian penumpang depan mati di tempat kejadian berikutan cedera parah di badan akibat tersepit manakala pemandu kereta Abdul Muied Abdul Murad, 43, cedera ringan dan dirawat di klinik berhampiran.

Difahamkan, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Sala menuju Yan dipercayai untuk pergi ke tempat kerja anaknya.

Menurut anaknya yang enggan dikenali berkata, adiknya, Abdul Muied memberitahu ibu mereka beriya-iya mahu mengikutnya untuk membaiki mesin padi yang rosak sekali gus melawat tempat kerjanya kerana bosan duduk di rumah.

“Adik saya tidak tidak mengesyaki apa-apa dan hanya menurut permintaan ibu, namun tidak menyangka itu permintaan terakhirnya sebelum menemui ajal,” katanya, semalam.

Katanya, ketika kejadian itu, dia berada di Kulim atas urusan kerja dan menerima panggilan daripada seorang kenalan kira-kira jam 6 petang memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, kejadian berlaku apabila pemandu Perodua Viva cuba mengelak sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.

“Kenderaan mangsa remuk teruk di bahagian depan menyebabkan Maimunah tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya cedera ringan dan menerima rawatan di hospital swasta,” katanya.

“Polis terpaksa meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan (HY) untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bujang, Bedong, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

-MEtro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");