Perak Hari Ini

Menara Condong Teluk Intan Diiktiraf Sebagai Warisan Kebangsaan

TELUK INTAN: Kerajaan Persekutuan kini mengiktiraf Menara Condong Teluk Intan di sini, sebagai warisan negara.

Pengiktirafan itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2015 di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, reka bentuk dan seni bina menara berkenaan mampu menjadi satu warisan negara kerana ia mempunyai keunikannya yang tersendiri.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Menara Condong, Teluk Intan  yang telah dibina pada tahun 1885 kini  diiktiraf oleh kerajaan sebagai warisan kebangsaan.

“Keunikan menara ini amat ketara dengan konsep “Pagoda” yang menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan senibina Cina seperti pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya,” katanya.

PERAKTODAY

Beliau mengucapkan tahniah atas usaha yang telah dilakukan oleh beberapa jabatan khususnya Kerajaan Perak yang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.

“Tahniah diucapkan kepada Jabatan Warisan Negara iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Malaysia dan juga kepada Kerajaan Negeri Perak khususnya Majlis Perbandaran Teluk Intan yang telah berjaya mendapatkan pengiktirafan ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi bangunan bersejarah berkenaan.

“Kerajaan Persekutuan juga sedang giat dalam proses untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa bagi menjadikan Menara Condong Teluk Intan ini sebagai salah satu warisan UNESCO,” ujarnya.

PERAKTODAY5

Jelas Muhyiddin, Menara Condong Teluk Intan tersebut mampu menjadi satu daya tarikan pelancong berikutan ianya menyerupai menara di luar negara.

“Menara Condong ini telah menjadi salah satu tarikan kepada pelancong yang berkunjung di Negeri Perak seperti mana juga The Leaning Tower of Pisa yang menjadi tarikan pelancong di Itali,” tambah beliau.

Selain itu, ujarnya, menara yang menjadi mercu tanda bagi bandar Teluk Intan ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang mana pada satu ketika dahulu banyak berjasa kepada penduduk di kawasan sekitarnya.

“Menara ini dahulunya berfungsi memberi perkhidmatan kepada rakyat iaitu sebagai tangki air pada waktu kemarau dan juga mempunyai kemudahan untuk memadamkan api.

“Sementara itu, jam yang terdapat pada menara ini juga merupakan lambang perpaduan rakyat Teluk Intan kerana ianya merupakan hasil sumbangan derma daripada penduduk tempatan pada ketika itu.

“Sesungguhnya, usaha mengekalkan dan memelihara warisan dan budaya merupakan tanggungjawab kita bersama,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");