Perak Hari Ini

PAWE Bantu 23,406 Warga Emas Jalani Hidup Sihat

IPOH: Sebanyak 45 buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuhkan di seluruh negara dengan keahlian kini mencecah 23,406 orang sehingga Oktober lalu.

Pusat tersebut menawarkan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) kepada golongan warga emas di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, peranan pusat yang ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama daripada agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu selaras dengan dasar yang diluluskan oleh kerajaan Pusat.

“Malaysia perlu bersiap sedia untuk menghadapi fenomena penuaan seperti yang diunjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara tua (aged nation) pada 2030.

“Ia akan terjadi apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas akan mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk yang pada ketika itu, dengan anggaran 5.3 juta orang daripada 35.3 juta penduduk negara merupakan warga emas.

“Oleh itu, KPWKM mengambil inisiatif mengkaji semula Dasar Warga Tua Negara yang digubal pada tahun 1995 serta Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara yang dirangka pada tahun 1998 sebelum ia diluluskan oleh kerajaan pada 5 Januari 2011,” katanya pada majlis Perasmian Karnival Warga Emas di Ipoh, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Datuk Rusnah Kassim.

PERAKTODAY42

Beliau berkata lagi, pusat tersebut merupakan salah satu program sokongan sosial atau perintegrasian warga emas bersama dengan ahli keluarga serta masyarakat dengan dua daripadanya sudah dibuka di Perak.

“Di Perak, saya dimaklumkan bahawa terdapat dua buah pusat PAWE iaitu di Tanjung Malim dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh yang merekodkan seramai 1,152 ahli.

“Jumlah bilangan keahlian semakin meningkat setiap hari yang mana purata kehadiran ahli PAWE adalah seramai 80 orang sehari dan jumlah tersebut meningkat kepada 2,100 orang dalam masa sebulan.

“Ia merupakan pusat pertemuan untuk warga emas menjalankan aktiviti dan seterusnya dapat menghindarkan golongan berkenaan daripada rasa kesunyian,” katanya lagi.

PERAKTODAY39

PAWE di UTC Ipoh, katanya lagi telah mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan warga emas di sekitar bandaraya itu.

“Pelbagai aktiviti dan kemudahan warga emas telah dijalankan dengan kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan dan sektor swasta di pusat berkenaan.

“Pihak jawatankuasa PAWE juga sudah mempunyai perancangan yang lebih besar untuk menjadikan PAWE UTC antara yang terbaik dan memberi manfaat kepada warga emas selaras dengan objektif penubuhannya,” ujar beliau.

Beliau berharap agar kerjasama dan kesungguhan jawatankuasa bersama kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Perak dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan hidup golongan warga emas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");