Membawang Hari Ini

Project Almanac: Kesan melawan masa

BAYANGKAN anda mempunyai sebuah mesin masa dan ia boleh membawa anda kembali ke masa lampau, apakah perkara pertama yang ingin anda lakukan sekiranya anda boleh kembali ke masa lampau?

Begitulah antara sebahagian perjalanan cerita filem Project Almanac yang memperlihatkan sekumpulan remaja mahu menikmati zaman remaja mereka yang pernah terlepas.

Filem arahan Dean Israelite ini mempertaruhkan pelakon seperti Jonny Weston, Sofia Black-D’Elia, Ginny Gardner dan Patrick Johnson.

Diterbitkan oleh Michael Bay, ia mengisahkan David, seorang budak pintar namun susah untuk mendapatkan kekasih.

Dia telah terpikat kepada Jessie, gadis popular di sekolah dan membuat keputusan untuk menarik perhatian gadis tersebut dengan memenangi pameran sains serta mendapatkan biasiswa kolej.

Mendiang ayah David merupakan seorang saintis dan David telah bercadang untuk mendapatkan bahan-bahan ayahnya bagi mencari idea.

Namun tanpa disedari, David telah terjumpa sebuah nota yang menjelaskan tentang kebolehan untuk mengembara masa dan sukan almanac.

David kemudiannya mengajak rakanrakannya untuk membina semula mesin masa dan mengembara ke masa silam mereka. Namun tindakan mereka melawan masa tanpa disedari membawa mereka kepada kejadian yang tidak terduga.

Bagaimanapun bagi anda yang tidak menyukai filem yang digarap berdasarkan rakaman asal atau found footage, anda mungkin berdepan sedikit masalah untuk mengikuti perjalanan filem ini.

Namun ia tidaklah seteruk mana kerana ada ketikanya filem ini dirakamkan dengan kamera statik.

Dalam sudut lain pula, ia akan membuatkan anda seolah-olah berada sama dalam pembinaan mesin masa dan turut mengembara ke masa silam.

Filem ini juga memperlihatkan bagaimana remaja pintar yang pada akhirnya bertukar menjadi remaja yang nakal dan tindakan mereka semakin sukar dikawal.

Apatah lagi pada mulanya, mereka adalah antara remaja yang terkenal dengan jolokan ulat buku, yang akhirnya seolah-olah membalas dendam dengan masa lalu yang mereka terpaksa tinggalkan kerana memberi tumpuan kepada pelajaran.

Secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini sememangnya sudah dapat dijangka, namun kesan dan akibat tindakan mereka melawan masa amat menarik untuk ditonton.

Gandingan segar

Selain itu, antara faktor penarik untuk anda menonton filem ini adalah semangat setia kawan yang diterapkan di dalam filem ini.

Menonton filem ini bersama rakan-rakan anda akan membuatkan anda mengingati tempoh zaman persekolahan dan juga masa ketika bersama sahabat baik anda.

Apatah lagi, dengan pemilihan pelakon yang bersesuaian dan segar, akan membuatkan anda kembali kepada memori masa lalu.

Dari segi lakonannya pula, pujian harus diberikan kepada pelakon yang terlibat kerana mereka berjaya memberikan lakonan yang baik.

Namun tidak bererti tiada kekurangan, sebaliknya kekurangan itu ditutup dengan perkara lain yang lebih menarik.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui keseluruhan cerita ini dan apakah yang akan terjadi kepada lima sekawan ini, jangan lupa untuk menyaksikan Project Almanac di pawagam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");