Membawang Hari Ini

Adaptasi novel: Masihkah Ada Kasih bawa kelainan

SELEPAS kejayaan drama bersiri Trilogi Cinta yang mencecah rating 1.3 juta penonton, RTM kembali menggandingkan pengarah, Amie Maziah bersama novelis terkenal, Sharifah Abu Salem, menerusi drama Masihkan Ada Kasih.

Drama bersiri 40 episod, yang juga adaptasi novel Alaf 21, berjudul sama karya Sharifah, sudah mula menemui penonton setiap Khamis dan Jumaat, jam 11.05 malam di saluran TV1.

Mengisi slot Arca, drama ini mempertaruhkan gandingan mantap Shera Aiyob (Manisah) bersama Fikhree Bakar (Firdaus). Turut berlakon dalam drama ini ialah Karl Shafeq, Raissuddin Hamzah, Tunku Hanis, Reen Rahim, Sura Sojangi, Zalfie Roul dan pelakon baru, adik Mohd Afiq Farhat.

Menurut Amie, pengalamannya bekerjasama dengan Sharifah menerusi Trilogi Cinta banyak memberi kelebihan buatnya dalam mengarahkan drama kedua adaptasi daripada novelis berusia 54 tahun ini.

“Saya bertuah kerana Sharifah sekali lagi bertindak selaku penulis skrip untuk filem ini. Jadi ia banyak memudahkan saya dan kami juga ada bekerjasama beberapa kali sebelum ini.

“Menariknya mengenai Masihkah Ada Kasih, ia bukan mengenai kisah tipikal adaptasi sekarang seperti kahwin kontrak atau kahwin paksa tapi ia mempertaruhkan elemen kekeluargaan dan keagamaan.

“Jalan ceritanya berbeza dan ada daya penarik yang tersendiri. Jadi jika ada yang bertanya mengapa mereka perlu menonton filem ini? Jawapan saya kerana kelainan jalan ceritanya,” ujarnya kepada Zass.

Menjalani penggambaran selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan, Pahang, drama ini mengetengahkan kisah kehidupan pasangan muda, Manisah dan Firdaus yang terpaksa berdepan dengan pergolakan rumah tangga.

Firdaus mengahwini Manisah bukan kerana cinta, tetapi kerana ingin membuktikan dia mampu merampas Manisah dari kawan baiknya, Johan dan mempergunakan Manisah untuk memenuhi impiannya dalam perniagaan.

Namun Manisah tidak tahan terus terseksa. Tidak sanggup bergelumang dosa angkara kerakusan Firdaus memburu keuntungan, Manisah menuntut cerai. Firdaus menceraikannya dalam keadaan marah dan Manisah terpaksa kehilangan anaknya Syafiq apabila Firdaus melarikan Syafiq dan menyembunyikannya.

Bermulalah pencarian Manisah kepada anak kesayangannya. Lebih memilukan Syafiq dipisahkan darinya ketika anak kecil itu sedang menderita penyakit jantung berlubang.

Konflik demi konflik mula berlaku sehinggalah Johan kembali dari New York dan membantu Manisah. Apakah yang akan terjadi seterusnya?

Pilih muka baru

Tambah Amie, seperkara lagi yang menarik mengenai drama ini adalah pemilihan para pelakon yang sebelum ini jarang menjadi teraju utama.

Jelasnya, bagi mengelakkan kroni dalam produksi, dia sengaja memilih pelakon yang belum pernah bekerjasama dengannya.

“Selain jalan cerita, kekuatannya juga terletak kepada barisan pelakon dan dalam drama ini boleh dikatakan rata-rata pelakon pertama kali berada di bawah pengarahan saya.

“Saya pilih mereka berdasarkan kesesuaian watak dan saya bertuah kerana ke semua pelakon memberikan komitmen 110 peratus dan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon dengan cukup baik.

“Malah saya puji Shira ketika itu yang sanggup membawa anak ke set lokasi dan pelakon baru, Afiq juga, tidak kurang hebatnya. Dia begitu mudah dibentuk dan memberi lakonan yang cukup baik,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");