Membawang Hari Ini

Ajak selesa di televisyen

Ketika sahabatnya dalam kumpulan Shiro, Shahrol memilih untuk mengatur langkah sebagai penyampai radio, Ajak pula lebih selesa aktif sebagai pengacara dan pelakon.

Kata pemilik nama sebenar Mohamad Hanaffi Razak, 29, ini lagi dia juga sebenarnya pernah mendapat tawaran untuk bekerja di konti radio, namun ditolak kerana berasakan belum sedia.

Ditemui selepas majlis pratonton drama Bila Hati Sudah Hitam untuk Astro Oasis baru-baru ini, Ajak berkata, dia lebih selesa membina kariernya dalam lakonan dan pengacaraan.

“Selain melawak untuk menghiburkan masyarakat, saya juga sebenarnya lebih selesa berlakon dan mengacara program. Jadi, atas sebab itu saya memilih untuk aktif muncul di televisyen.

“Saya kalau boleh mahu mengetengahkan bakat lakonan ke tahap lebih jauh lagi kerana minat dalam bidang ini. Apatah lagi, saya pernah berlakon sebelum menyertai Raja Lawak 6 (RL6).

“Ketika itu, saya hanya mendapat peluang berlakon watak tambahan sebagai hantu dalam satu telefilem. Sudahlah watak hantu, lakonan saya itu hanya untuk enam saat saja,” katanya.

Menurut Ajak, apabila diimbas semula kenangan itu ia diakuinya sangat melucukan. Ditambah, dia sudah memaklumkan kepada keluarga mengenai kemunculannya sebagai pelakon.

“Kini, saya semakin bersedia mengorak langkah dalam lakonan dan tawaran juga nampaknya makin diterima. Sekarang adalah peluang saya.
“Oleh itu, saya perlu serius dan bekerja bersungguh-sungguh,” katanya yang melakonkan watak Hisham, seorang peniaga ayam di pasar dan bersikap panas baran.

Ajak berkata, dia tertarik berlakon dalam Bila Hati Sudah Hitam arahan Shahrul Ezad Mohameddin itu kerana kagum dengan barisan pelakon lain yang membintangi drama itu.

Menurut Ajak, sebaik melihat nama pelakon seperti Hasnul Rahmat, Azri Iskandar, Khir Rahman dan ramai lagi, dia terus berminat dan ingin mencuba.

Mengakui watak Hi­sham itu pada awalnya milik pelakon lain tetapi Ajak berkata, sebaik mendapat peluang dan kepercayaan daripada Shahrul Ezad, dia nekad melakukan yang terbaik.

Sudah selesai penggambaran filem Rempit Sampai Langit bersama Nabila Huda dan Taukeh (Jambu), Ajak yang ditanya mengenai Allahyarham Harun Salim Bachik berkata dia sangat terkejut.

Katanya, sudah tiga bulan dia tidak bertemu pelakon dan pelawak terkenal itu, apatah lagi mengetahui Harun menghidapi masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Ajak mengakui sepanjang mengenali Allahyarham dia memang tahu Harun ada masalah asma yang teruk.

Menurut anak jati Johor ini lagi, sesiapa yang mendengar arwah batuk pasti bimbangkan keadaan kesihatannya. Apapun, Ajak menyifatkan Harun seorang pelawak legenda yang banyak idea.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");