Sukan Hari Ini

Demi bola sepak Malaysia

Kuala Lumpur: Timbang semula keputusan dan jangan dengar cerita negatif mereka yang tidak berminat memajukan bola sepak Malaysia!
Begitulah luahan Khalid Ali yang meminta agar Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menimbangkan semula keputusan meletakkan jawatan sebagai Penasihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas pemain kebangsaan itu berharap TMJ menilai semula tindakan itu demi kesinambungan pembangunan bola sepak profesional di negara ini.

“Saya berharap TMJ menimbang semula keputusan itu demi kemajuan bola sepak Malaysia yang kini menuju era profesional.

“TMJ tidak perlu mendengar pandangan berbentuk negatif pihak tertentu terutamanya mereka yang dekat dengannya hingga mengambil keputusan drastik melepaskan jawatan penasihat itu walaupun hanya baru empat bulan bersama FAM,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pengumuman peletakan jawatan TMJ sebagai Penasihat FAM, baru-baru ini dikatakan berpunca daripada tidak mahu terbabit dengan badan induk itu yang dianggapnya bersikap tidak telus.

TMJ yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), dilantik Penasihat Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Oktober tahun lalu.

Khalid merasakan TMJ tidak perlu terburu-buru melepaskan jawatan hanya kerana berlakunya kesilapan dan penetapan jadual perlawanan.
“Saya merasakan TMJ mendapat nasihat serta gambaran negatif. FAM bukannya organisasi bodoh sombong, bankrap idea dan ideologi,” katanya.

Ditanya aspek lain supaya TMJ menimbang semula keputusannya, Khalid berkata: “Kita perlukan seorang pemimpin berkaliber. Kita akui bola sepak zaman moden mesti ada seseorang yang berwawasan dan beriltizam seperti TMJ.

“Sejak TMJ membentuk Johor Darul Ta’zim (Johor DT), sudah ada perubahan berlaku dalam kancah bola sepak kita.

“Malah, perancangan dan program digunakan menerusi idea TMJ terhadap pembentukan Johor DT boleh dijadikan ‘blue print’ untuk digunakan FAM.

“Malah, tidak keterlaluan jika mengatakan dengan tahap kemampuan dimiliki, TMJ boleh membangunkan empat hingga lima pasukan lain dalam liga tempatan seperti dilakukan bersama Johor DT.

“Kita perlu penasihat yang ada matlamat mahu memajukan bola sepak. Perubahan bukan berlaku sekelip mata tapi usaha mengubah mentaliti dan pengurusan pasukan bola sepak dapat dilihat sejak dua tahun lalu menerusi inisiatif TMJ,” katanya.

Malah, menurut Khalid kemelut membabitkan Gary Steven Robbat yang terbabit dalam perebutan pasukan juga sebenarnya bukan isu besar kerana pemain Harimau A itu kemudian mendapat peluang berlatih bersama kelab Bundesliga Jerman Borussia Dortmund.

“Ini bagi saya, satu kemajuan positif,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");